Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Wednesday, February 25, 2009

AYAT-AYAT PELINDUNG

Beberapa sahabat bertanyakan kepada saya, ada tak ayat yang tertentu yang boleh dibaca dengan tujuan menjauhkan diri daripada gangguan jin, syaitan, sihir, kesusahan dan juga untuk kebaikan pada diri sendiri, orang lain dan harta benda (umum).

Kita boleh membaca dan mengamalkan ayat tertentu untuk mendapatkan manfaat daripada ayat-ayat yang telah diamalkan oleh Rasulullah dan sesungguhnya ianya sangat mustajab dengan izin dan kehendak Allah. Saya tidaklah alim dalam hal-hal ini tetapi saya pernah mengambilnya daripada guru-guru saya dahulu dan bolehlah kita kongsi bersama dan insyaAllah dalam usrah kali ke tiga kita akan sampaikan secara bersanad.

Dengan tujuan untuk mengubati orang yang sakit, menjauhkan dari musibah pandangan ‘ain’, mengelak daripada gangguan jin dan syaitan, membuang sihir, melepaskan diri dari kesusahan dan boleh dibaca untuk mendapatkan kebaikan dan pemeliharaan umum.

Bacalah ayat-ayat berikut:

1. Surah al-Fatihah [boleh dibaca 1 kali atau 3 kali atau 7 kali]

2. Ayat Kursi [boleh dibaca 1 kali atau 3 kali atau 7 kali]

3. Ayat yang ke 128 dari Surah at-Taubah [boleh dibaca 1 kali atau 3 kali atau 7 kali]

لقد جاءَكُم رسولٌ مَن أنفسِكُم عزيزٌ عليهِ ما عَنِتُّمْ حريصٌ عليكم بالمؤمنينَ رءوفٌ رحيمٌ

4. Empat Ayat terakhir dari Surah al-Hasyr [boleh dibaca 1 kali atau 3 kali atau 7 kali]

لو أنزَلْنا هذا القرءانَ على جبلٍ لرأيتهُ خاشِعًا مُتصدِّعًا من خشيةِ الله وتلكَ الأمثالُ نضربها للناسِ لعلهم يَتفكَّرونَ* هُوَ الله الذي لا إلهَ إلا هو عالمُ الغيبِ والشهادةِ هو الرحمنُ الرحيم* هو الله الذي لا إله إلا هو الملكُ القدوسُ السلامُ المؤمنُ المهيمنُ العزيزُ الجبارُ المتكبرُ سبحانَ الله عمَّا يُشركون* هو الله الخالقُ البارئُ المصورُ لهُ الاسماءُ الحُسنى يُسبِّحُ له ما في السمواتِ والأرض وهو العزيز الحكيم

5. Bacaan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nass) [boleh dibaca 1 kali atau 3 kali atau 7 kali]

6. Kemudian bacalah bacaan ini sebanyak 3 kali

اللهم ربّ الناس أذهب البأسَ، اشفِ أنت الشافي لا شفاء إلا شفاؤك شفاءً لا يُغادرُ سَقمًا

Faedah:
Hendaklah bacaan-bacaan di atas dibaca dengan sebutan dan dengan makhrajnya yang betul. Wajib beriktikad dengan yakin bahawa tidak ada sesuatu yang boleh memberi manfaat dan mudarat kecuali hanya Allah Taala sahaja. Sentiasa bertawakkal kepada Allah melakukan ketaatan kepada-Nya dan menjauhkan diri dari perkara-perkara maksiat.

Read More......

Sunday, February 22, 2009

DOA HAJAT YANG MUSTAJAB

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Syukur alhamdulillah usrah kali kedua telah berjalan dengan lancar, beberapa topik telah kita sentuhkan antaranya berkaitan dengan doa hajat. Suka disini saya sebutkan sekali lagi hadis berkaitan doa dan solat hajat semoga kita mendapat faedah daripadanya.

Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa seorang lelaki telah berulang alik (ada hajat) kepada Usman bin bin Affan tetapi Usman bin Affan tidak mengendahkan serta tidak menunaikan hajatnya. Maka lelaki ini telah pergi kepada Usman bin Hunaif dan mengadu hal tersebut. Lalu Usman bin Hunaif telah mengajarkan kepada beliau: “Pergilah kamu ke tempat wuduk dan ambillah wuduk dan dirikanlah solat dua rakaat (solat hajat). Kemudian hendaklah kamu berdoa kepada Allah dengan doa ini:

"اللهم إني أسألكَ وأتوجَّهُ إليك بنبيّكَ محمَّدٍ نبيّ الرّحمةِ يا محمَّدُ إنّي أتوجَّهُ بكَ إلى ربّي في حاجتي (ويسمّي حاجته) لِتُقضَى لي".

‘Ya Allah sesungguhnya aku mengadapkan diri aku (tawajjuh) kepada-Mu dengan kedudukan yang ada pada nabi-Mu Muhammad, nabi yang membawa rahmat. Wahai Muhammad sesungguhnya aku bertawajjuh dengan engkau kepada tuhanku dalam hajatku ini (sebutkan hajat kita) semoga Engkau tunaikan hajat ku’.

Kemudian pergilah kamu, aku akan pergi bersama kamu”.

Maka lelaki tadi telah pergi dan melakukan apa yang telah di ajarkan oleh Usman bin Hunaif kepada beliau, apabila selesai dia pun pergi kepada Usman bin Affan untuk sampaikan hajatnya. Sampai sahaja di sana beliau telah disambut oleh pengawal dan membawanya masuk berjumpa dengan Usman bin Affan. Usman bin Affan telah meminta lelaki itu duduk di atas hamparan yang disediakan olehnya dan bertanyakan kepada lelaki itu. ‘Apakah hajat kamu? Lalu lelaki tadi menyatakan hajatnya kepada Usman bin Affan dan beliau pun menunaikan hajat lelaki tersebut. Usman bin Affan berkata ‘aku tidak mengingati hajat kamu melainkan pada ketika ini’. Kemudian lelaki ini telah keluar dari rumah Usman bin Affan dan pergi berjumpa dengan Usman bin Hunaif dan berkata kepadanya: ‘semoga Allah membalas kebaikan kepada kamu, sesungguhnya Usman bin Affan tak memandang kepada hajatku sehinggalah engkau memberitahunya mengenaiku’.

Usman bin Hunaif berkata: ‘Demi Allah, aku langsung tidak memberitahunya tetapi aku telah menyaksikan bahawa telah datang seorang lelaki buka kepada Rasulullah dan mengadu kepada baginda tentang kehilangan penglihatannya. Maka Rasulullah berkata kepadanya : ‘Jika engkau dapat bersabar maka bersabarlah, dan jika engkau hendak, aku akan mendoakannya untuk engkau’. Dia berkata: ‘Wahai Rasulullah! kehilangan penglihatanku telah menyukarkan aku kerana tidak ada orang yang memandukan aku’.

Lalu Rasulullah berkata kepada lelaki buta itu: ‘Pergilah ke tempat wuduk dan ambillah wuduk, dirikanlah solat dua rakaat (solat hajat) dan berdoalah dengan doa (seperti yang dinyatakan diatas). Maka lelaki buta itu melakukan seperti yang diperintahkan, demi Allah sebelum sempat kami berpisah dan belum pun majlis kami bermula lelaki buta tadi telah masuk semula kepada kami dalam keadaan boleh melihat (penglihatannya telah pulih) seolah-olah dia tidak pernah ditimpa penyakit tersebut.

Hadis panjang ini diriwayatkan oleh Imam at-Thabarani dalam Mu’jamnya.

Martabat Hadis: Sohih

Catatan:
Berdoa dengan cara bertawassul adalah harus dan tidak menyalahi dasar akidah bahkan amalan seperti ini disukai oleh Rasulullah.

والله تعالى أعلم وأحكم

Abu Nizar

Read More......

Wednesday, February 11, 2009

TALAQQI SUNNAH RASULULLAH

Assalamualaikum rakan usrah semua.

Sudah masuk tahun kedua usrah ini terus mendapat tempat di hati kita semua, dengan sedikit ilmu yang disampaikan secara bertalaqqi ia telah mengembangkan sedikit ilmu pengetahuan rakan-rakan usrah, maka amat diharapkan rakan-rakan yang lain belum mengambil bahagian dapat ikut serta pada sesi akan datang, semoga kita bersama mendapat keredaan-Nya.

Bertalaqqi adalah sunnah nabi yang sudah sekian lama diamalkan sehingga kini. Sudah menjadi kesepakatan para ulama salaf dan khalaf ilmu agama yang diperolehi adalah daripada belajar secara terus dari guru-guru mereka dengan perkataan yang lain, ilmu mereka diambil secara bertalaqqi daripada guru yang alim dan tsiqah. Guru-guru mereka juga melakukan demikian, begitulah seterusnya sehingga sampai kepada sahabat-sahabat nabi yang diambil daripada Rasulullah.

Rangkaian ilmu ini dinamakan ‘sanad’. Dengan sanad ilmu agama yang suci diperolehi dan terhindar dari fahaman dan fakta-fakta yang tidak tepat serta menyeleweng dari ajaran islam yang sebenar . Begitulan amalan guru-guru pondok kita yang mereka dahulunya sering duduk bersila di depan para ulama untuk bertalaqqi atau mendengar ilmu yang disampaikan.

Keharuman dan kesegaran ilmu dapat dirasai orang yang yang mengambilnya secara bersanad. Hal ini dapat difahami daripada sabda Rasulullah:

من يرد الله به خيرا يفقه في الدين، إنما العلم بالتعلم والفقه بالتفقه". رواه الطبراني"

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki baginya suatu kebaikan, maka Allah akan memberi kefahaman agama kepadanya, sesungguhnya ilmu itu diperolehi dengan belajar (bertalaqqi) dan feqah itu dengan belajar secara tafaqquh”. Hadis riwayah at-Tabrani.

Imam Al-Hafiz Abu Bakar Al-Khatib Al-Baghdadi berkata dalam kitab al-Faqih wal Mutafaqqih:

"لا يؤخذ العلم إلا من أفواه العلماء"
Maksudnya: "Jangan sekali diambil ilmu agama melainkan dari mulut ulama iaitu dengan secara bertalaqqi".

Imam An-Nawawi pernah berkata dalam kitabnya al-Majmuk: “jangan sekali kamu mengambil ilmu agama dari golongan yang membaca buku tanpa bertadah (menghadap) kepada syeikh (guru) dan sesiapa yang mengambil ilmunya dari buku akan terjatuh kepada kesalahan, penipuan dan jauh dari kebenaran".

Sekian untuk kali ini.
Abu Nizar.
والله أعلم وأحكم

Read More......

Tuesday, February 10, 2009

Perjumpaan Pertama

Alhamdulilah..
Pembuka tirai Usrah Zon Piasau sesi 2009 telah berjaya diadakan. Perjumpaan pertama pada 12 Safar 1430 bersamaan 8 Februari 2009 ini telah diadakan di rumah Ustaz Nuri Qalbi selepas solat Asar. Penulis mewakili sahabat-sahabat lain mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah Ustaz Nuri di atas juadah yang disediakan sempena memasuki rumah baru beliau. Penulis bersetuju dengan ucapan pengerusi usrah zon piasau yang menyatakan bahawa usrah yang diadakan ini bukan bertujuan perjumpaan semata-mata, banyak faedah yang diperoleh di samping mengenali sesama sendiri, sahabat-sahabat usrah juga boleh memaklumkan sekiranya mempunyai masalah. Dengan adanya usrah sebegini, insyaAllah rakan-rakan usrah yang berkemampuan dapat membantu. Setidak-tidaknya dapat meringankan beban. Di kesempatan ini penulis ingin memaklumkan kepada sahabat usrah semua bahawa penulis akan menyediakan satu ruangan mengenai PERMASALAHAN HUKUM. Sekiranya sahabat-sahabat mempunyai kemusykilan agama berhubung dengan hukum-hakam, boleh la diajukan soalan dalam ruangan yang akan disediakan. Untuk makluman sahabat usrah juga, ruangan yang penulis maksudkan ini akan di kawal selia oleh Ustaz Abu Nizar. Segala soalan yang di postkan dalam ruangan ini akan dijawab terus oleh beliau. Penulis menamakan ruangan ini BERSAMA USTAZ ABU NIZAR. diharapkan sahabat-sahabat dapat mengikuti segala apa yang ditulis oleh ustaz kita. semoga kita mendapat barakah dari Allah.

Read More......

Sunday, February 8, 2009

JOM LEPAK DI USRAH

Assalammualaikum w.b.t....
alhamdulillah bersyukur kepada Ilahi di atas segala nikmat iman dan islam serta rahmat-Nya yang tidak terhingga. di kesempatan ini saya ingin melahirkan rasa syukur kerana dapat menyiapkan blog usrah zon piasau. terima kasih yang tak terhingga juga saya salurkan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam mewujudkan blog ini. semoga segala jasa baik sahabat-sahabat akan diberi ganjaran oleh Allah. lembaran 2008 telah menutup tirai. kedatangan 2009 yang penuh dengan segala macam perkara tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus beristiqamah dalam usrah zon piasau. semoga tahun 2009 ini akan memantapkan kita semua dan juga mengukuhkan hubungan usrah sesama kita. kepada sahabat-sahabat semua marilah ringankan angota badan untuk sama-sama memeriahkan usrah kita. banyak info dan maklumat yang akan kita peroleh disamping diberi ganjaran pahala dari Allah. semoga Allah S.W.T mengukuhkan hubungan kekeluargaan sesama kita. akhir kata dari penulis, JOM LEPAK DI USRAH ZON PIASAU.

Read More......