Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Sunday, May 31, 2009

KONVOI USRAH KE KUCHING CUTI-CUTI MALAYSIA



Alhamdulillah selepas solat Isyak berjamaah di Masjid Darul Ehsan taklimat terakhir telah disampaikan oleh ketua konvoi Us. Jo dihadiri oleh semua peserta pada 31 Mei 2009 jam 8:30 malam di Restoran Eezyan Piasau. Persetujuan telah dicapai dengan tentatif perjalanan seperti berikut:

4 Jun 09 (Khamis)
: 7:00 pagi
- Berkumpul di Masjid Luak
- Bacaan Doa Safar oleh Us. Abu Nizar
- Memulakan Perjalanan

: 1:00 petang
- Solat Jamak Taqdim (Sibu)

: 2:30 petang
- Sambung Perjalanan

: 6:00 petang
- Dijangka sampai di Sri Aman
- Bermalam di Mega Inn Sri Aman

5 Jun 09 (Jumaat)
: 8:00 pagi
- Bertolak ke Kuching
- Singgah Air Terjun (Serian)

: 11:30 pagi
- Sambung perjalanan

: 2:00 petang
- Dijangka sampai ke Bandaraya Kuching
- Check In di Tune Hotel

6-8 Jun 09 (Sabtu – Isnin)
: Jalan-jalan sekitar Kuching antaranya
- Pusat Sivik
- Kuching Waterfront
- River Cruise (RM40)
- Astana
- Pusat Bazaar
- India Street
- Masjid Kuching
- Kubu Margherita
- Muzium Sarawak
- Cat Muzium
- Kampung Budaya Sarawak
- Pasar Satok
- Pasar Serikin
- Gua Angin

9 Jun 09 (Selasa)
: 10:00 pagi
- Check Out dari Tune Hotel
- Bermalam di RH Hotel di Sibu

10 Jun 09 (Rabu)
: 10:00 pagi
- Bertolak balik ke Miri
- Lawatan ke Taman Tumbina Bintulu

”Semoga Allah merahmati perjalanan kita”

Read More......

Friday, May 22, 2009

Keagungan Mazhab Imam Syafiee



Rasulullah pernah bersabda:

"لا تَسُبُّوا قُرَيشاً فإنَّ عَالِمَهَا يَمْلأُ طِبَاقَ الأرضِ عِلماً"

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela bangsa Quraisy, sesungguhnya akan lahir seorang yang alim dia akan memenuhi dataran bumi ini dengan ilmu”.

Makna hadis ini ialah akan lahir seorang yang alim dari bangsa Quraisy dan permukaan bumi ini akan dipenuhi dengan ilmunya. Ulama berpendapat bahawa hadis amat bertepatan dengan Imam as-Syafiee kerana dia adalah dari bangsa Quraisy dan Imam mazhab selainnya iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bukanlah dari bangsa Quraisy. Ternyata mazhabnya tersebar amat luas hingga meliputi dari Negara Arab, Timur, Barat, Asia, Afrika dan Eropah.

Imam Muhammad bin Idris atau lebih mashur dengan panggilan as-Syafiee dilahirkan pada 150 Hijrah dan wafat pada 204 Hijrah pada usia 54 tahun. Imam Syafiee mempunyai suara yang merdu sehingga masyarakat pada zamannya yang ingin mendengar atau belajar bacaan al-Quran yang sahih yang boleh menyentuh jiwa dan perasaan mereka akan merujuk kepada Syafiee walaupun pada ketika itu usianya masih muda remaja.

Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Imam Syafiee pernah sampai ke Asia Tenggara semasa hayatnya. Namun demikian umat Islam di Asia Tenggara pada hari ini berpegang kuat dengan mazhab fekahnya yang dikenali dengan ‘mazhab Syafiee’. Ini merupakan hujah dah bukti yang kuat bahawa hadis di atas menunjukkan kepada keagungan mazhab Syafiee.

Seterusnya jika kita lihat dari segi hayatnya, Imam Syafiee tidak dikurniakan usia yang panjang. Berdasarkan kepada usianya tak mungkin dia dapat menyebarkan ilmunya ke serata dunia semasa hayatnya. Tetapi kebenaran sabda Rasulullah bahawa ilmunya akan akan memenuhi muka bumi, maka ilmu Imam Syafiee telah dikembangkan oleh oleh ulama-ulama yang mengikuti aliran fekah yang beliau asaskan dengan berdasarkan kitab induk beliau (al-UMM) sehingga mazhab beliau merupakan mazhab yang paling ramai pengikutnya di muka bumi pada masa sekarang.

Seorang ulama yang digelar ‘penghulu ahli hadis’ iaitu Imam Bukhari (Muhammad bin Ismail) pengarang kitab Sohih Bukhari adalah bermazhab Syafiee. Seorang lagi tokoh hadis yang agung digelar dengan ‘penutup ahli hadis’ al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani yang merupakan penulis kitab Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari turut bermazhab Syafiee.

Di medan Jihad pula siapa yang tak kenal dengan kehebatan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang telah membebaskan Palestin dari cengkaman tentera salib. Pemerintah dan panglima yang berpegang kuat dengan mazhab Imam Syafiee.

Keagungan Imam Syafiee dinukilkan dengan cermat dan amanah oleh Imam Tajuddin as-Subki dalam Tobaqat as-Syafieeyyah, siapa yang ingin mendapatkan lebih lagi kehebatan mazhab Syafiee bolehlah rujuk buku beliau.

والله أعلم وأحكم
Abu Nizar

Read More......

Monday, May 18, 2009

PERJUMPAAN USRAH KALI KESEPULUH 2009

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dijemput kepada semua rakan usrah untuk hadir pada perjumpaan usrah kita kali kesepuluh pada hari Khamis 21 Mei 2009 bertempat di Surau SK Anchi.

Tentatif program adalah seperti berikut:

1. Solat Maghrib berjamaah
2. Bacaan Surah Yasin
3. Pengajian Tajweed
4. Talaqqi Kitab Akidah Muslimin
5. Solat Isyak berjamaah
6. Jamuan dan Perbincangan Isu Semasa

Renungan Bersama:

Imam Ahmad berkata:"Bermewah-mewah (at-tana'um) adalah makruh.

Nabi berkata kepada Muaz: "Wahai Muaz, janganlah kamu bermewah-mewah. Sesungguhnya hamba Allah itu tidak bermewah-mewah”. Oleh itu redhalah dengan yang sedikit. Dan jangan sekali-kali merasa dengki dan terhina apabila melihat ada orang lain yang lebih mewah daripada kita.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Jika salah seorang daripada kamu melihat orang lain yang melebihinya dalam kesihatan dan kekayaan, maka hendaklah dia melihat ke bawah". [H.R Bukhari]

Maksud hadis ini ialah jangan kita merasa kecewa jika ada orang yang lebih senang daripada kita, tetapi hendaklah selalu kita beringat bahawa jika kita susah, maka terdapat orang yang lebih susah daripada kita. Jika kita makan makanan yang kurang enak misalnya, maka perlu kita ingat bahawa ada orang lain yang langsung tidak menjamah makanan. Oleh itu bersyukurlah dengan rezeki yang Allah kurniakan.

Read More......

Saturday, May 16, 2009

"Guru Pembina Negara Bangsa"



Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.




Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia

Jika hari ini seorang Peguam menang bicara

Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah

Jika hari ini seorang Penulis terkemuka

Jika hari ini seorang Doktor pakar segala

Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira

Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama

Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca!

Read More......

Saturday, May 9, 2009

KORBAN DAN AKIKAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bersyukur kepada ilahi di atas nikmat iman, islam dan sebagainya yang mana telah diberikan kepada kita hari ini. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua. Pada kesempatan ini, dengan ruang masa, ruang kesihatan yang diizinkan Allah dapatlah saya menulis beberapa ilmu yang boleh kita berkongsi bersama.
Baru-baru ini seorang sahabat berniat untuk membuat ibadah korban dan akikah. oleh yang demikian, sahabat ini telah menanyakan beberapa soalan berkaitan dengan ibadah korban dan akikah tersebut. Antara soalan yang diajukan yang sempat saya tulis ialah :
1) Apakah itu korban dan akikah?
2) Bagaimanakah pula hukum korban dan akikah?
3) Bilakah masa yang dituntut?
4) Apakah syarat-syarat sah bagi korban dan akikah?
5) Apakah yang sebaik-baiknya kita lakukan dengan daging korban dan akikah?
6) Bolehkan kita berkongsi korban dengan menyembelih seekor lembu ataupun kambing
untuk satu keluarga?
7) Bolehkah tulang dan kulit binatang yang dikorbankan dijual?

Jawapan:
1) Korban adalah salah satu bentuk ibadat tersendiri yang dilakukan oleh hamba kepada Allah dengan menyembelih binatang ternakan sempena menyambut Hari Raya Korban.
Akikah menurut pengerian syarak adalah menyembelih binatang ternakan pada hari mencukur rambut kana-kanak selepas 7 hari kelahirannya.
2) Hukum korban dan akikah adalah sunat muaakad.
dalil korban: surah al-kausar ayat 1 dan 2 yang bermaksud "Kami anugerahkan kepadamu sebuah sungai di syurga. Maka bersolatlah untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berkorban)"
dalil akikah: Nabi Muhammad SAW menjelaskan dalam hadisnya yang bermaksud "Kanak-kanak itu dipertaruhkan dengan akikahnya. Oleh itu perlu disembelih untuknya pada hari yang ke7, dicukurkan rambutnya dan diberi nama".
3) Masa yang dituntut berkorban bermula daripada 10 Zulhijjah sebaik sahaja selesai solat sunat Hari raya korban sehingga jatuh matahari hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.
Masa yang dituntut berakikah pula ialah selepas 7 hari kelahiran anak.
4) Syarat sah bagi korban ialah :
-niat
-binatang yang sihat, tidak berpenyakit, tidak cacat, cedera dan sebagainya.
-binatang yang sudah cukup umur
a)kerbau, lembu dan kambing yang berumur 2 tahun.
b)biri-biri yang berumur setahun.
-perlu disembelih dalam waktunya, iaitu pada hari 10 hingga 13 Zulhijjah.
Syarat sah bagi akikah ialah : sama seperti syarat korban, kecuali waktunya tidak sama. sekurang-kurangnya akikah adalah seekor kambing dan sebaik-baiknya disembelih 2 ekor kambing ataupun biri-biri bagi anak lelaki dan seekor bagi anak perempuan.
5) Daging korban perlu disedekahkan kepada orang ramai secara mentah, manakala daging akikah perlu disedekahkan kepada orang ramai selepas dimasak terlebih dahulu. boleh juga dibuat kenduri dan dijemput orang ramai menghadiri jamuan.
6) Ibadah korban tidak boleh dikongsi, cuma apa yang dibolehkan adalah berkongsi bahagian-bahagian unta, kerbau, ataupun lembu sebanyak 7 orang, sama ada ahli keluarga ataupun orang asing, tetapi kambing ataupun biri-biri hanya untuk seorang sahaja.
7) Tulang dan kulit binatang yang dikorbankan tidak boleh dijual malah haram menjual mana-mana bahagian daripada binatang yang dikorbankan sama ada daging, tulang, kulit ataupun sebagainya. juga dilarang memberi daging sebagai upah sembelih, tetapi tidak salah apabila diberi atas dasar sedekah.

Inilah beberapa jawapan yang sempat saya berikan berdasarkan sumber rujukan yang saya peroleh diantaranya rujukan dari Dato' Dr. Haron Din menjawab persoalan fekah harian, tulisan bersama Ishak Din & Abu Hassan Din. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua. amin....

Read More......

TIDAK HALAL DARAH MUSLIM

Antara akidah ahlus sunnah ialah darah orang Islam itu tidak halal ditumpahkan tidak kira samada dia seorang yang baik mahupun jahat kecuali apabila dia melakukan perkara yang mewajibkan penumpahan darahnya.

Misalnya jika seorang yang membunuh orang lain tanpa hak, maka mengikut hukum Islam dia akan dihukum bunuh sebagai balasan kepada perbuatannya itu. Ketika ini barulah tidak haram membunuhnya.

Begitu juga dengan orang yang keluar daripada ketaatan khalifah maka khalifah boleh memerangi orang tersebut sebagaimana Saidina Ali memerangi Muawiyah yang tidak mahu tunduk di bawah ketaatannya.

Tetapi jika seorang muslim itu hanya berjudi, minum arak dan pergi ke disko atau ke kelab malam dan sebagainya, maka kita tidak boleh membunuhnya kerana perbuatan yang dilakukannya itu tidak membolehkan dia dibunuh.

Orang yang membunuh orang yang melakukan perbuatan tersebut sesungguhnya telah melakukan dosa besar kerana dia telah menumpahkan darah seorang Islam tanpa hak. Dosa membunuh adalah dosa yang kedua terbesar selepas kekufuran sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama fekah.

Kenyataan ini bertepatan dengan kata-kata Imam Abu Ja'far At-Thohawi dalam akidah at-Thohawiyah yang bermaksud: "Kita tidak melihat pedang ke atas seorangpun umat Nabi Muhammad kecuali bagi sesiapa yang wajib ke atasnya pedang".

والله أعلم وأحكم
Abu Nizar

Read More......

Monday, May 4, 2009

PERUMPAAN USRAH KALI KESEMBILAN 2009

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dijemput kepada semua rakan usrah untuk hadir pada perjumpaan usrah kita kali kesembilan pada hari Khamis 07 Mei 2009 bertempat di:

Surau SMK Dato Permaisuri,

Tentatif program adalah seperti berikut:

1. Solat Maghrib berjamaah
2. Bacaan Surah Yasin
3. Pengajian Tajweed
4. Talaqqi Kitab Akidah Muslimin
5. Solat Isyak berjamaah
6. Jamuan dan Perbincangan Isu Semasa

** Mohon ahli usrah turun awal kerana ini adalah pertama kali kita buat di Surau SMK Dato.

Read More......

Saturday, May 2, 2009

IRSYAD HUKUM

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah dalam ruang soal jawab agama mendapat sambutan yang amat baik dari kawan-kawan usrah dan juga pengunjung blog ini. Ada dari soalan yang sampai saya jawab terus ke email penyoal (reply) dan ada beberapa soalan saya akan pilih untuk jawab dalam blog ini.

Semoga kita mendapat faedah daripadanya.

Soal Jawab

Soalan 1.

Tajuk: Solat Jumaat

Seorang datang solat jumaat ketika imam sudah duduk tahiyat akhir, bagaimana cara dia perlu menyempurnakan solatnya?

Jawapan:

Jawapan soalan ini saya jelaskan dalam dua situasi:

Situasi pertama:

Sekiranya seorang makmum itu tidak sempat rukuk bersama dengan imam atau dia rukuk tetapi tidak sempat thomakninah pada rukuk bersama dengan imam pada rakaat yang kedua solat Jumaat, maka makmum hendaklah menyempurnakan solatnya selepas imam memberi salam dengan empat rakaat.

Situasi kedua:

Sekiranya makmum sempat rukuk bersama dengan imam beserta dengan thomakninah maka makmum dikira mendapat rakaat itu, maka dia hanya perlu tambah satu rakaat sahaja selepas imam memberi salam.

Nota: Thomakninah ialah berhenti segala semua sendi tulang tubuh badan dengan kadar masa tasbih ‘subhanallah’.

Soalan 2.

Tajuk: Sembelihan

Memburu binatang menggunakan senapang, boleh jelaskan tentang hukum sembelihan. Adakah selepas ditembak binatang itu tak perlu disembelih?

Jawapan:
Memburu binatang dengan menggunakan senapang adalah diharuskan tetapi wajib disembelih terlebih dahulu sebelum terputus hayatnya. Sekiranya binatang itu mati sebelum sempat disembelih maka hukumnya adalah haram dimakan. [rujuk Zainut Tholib]

* Ada pendapat mengatakan boleh dimakan walaupun binatang itu sudah mati akibat terkena peluru dengan syarat semasa menembak dia membaca Basmalah.

Jika pemburu memburu dengan menggunakan panah yang diperbuat daripada besi atau tembaga dan sifatnya tajam boleh melukai maka hendaklah ketika melepaskan panah itu disertai dengan niat dan membaca basmalah (بسم الله). Manakala syarat pemburu hendalah seorang Islam, binatang itu mati disebabkan oleh panahan (alat pemburu). Maka jika binatang itu sudah mati selepas terkena panah bolehlah dimakan walaupun tidak sempat disembelih. Akan tetapi sekiranya binatang itu masih ada hayatnya maka wajiblah disembelih.

Soalan 3.

Tajuk: Makanan halal

Assalamualaikum, saya pelajar Malaysia di New Zealand. Housemate saya, orang Mesir, beli dan makan daging yang tak halal. Alasannya, kedai daging halal jauh. Apa hukumnya, dan juga apa hukumnya saya berkongsi periuk dan pinggan sedangkan saya tau tentang perkara ini.

Jawapan:

Allah Taala berfirman:

” حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِه “

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana selain dari Allah”

Kalimah "الميتة" dalam ayat di atas bermakna bangkai, setiap binatang yang tidak disembelih dengan sembelihan syarak maka hukumnya seperti bangkai Maka dengan itu haram memakan makan yang tidak disembelih dengan sembelihan syarak. Daging yang tidak halal samalah hukumnya dengan bangkai.

Dalam situasi kawan anda sekarang hukumnya adalah tetap haram walaupun kedai yang yang menjual daging halal terletak jauh. Jika kita nak mencari makanan maka syarak menetapkan kepada kita wajib mencari yang halal walaupun tempat itu jauh. Sekiranya sukar untuk mencari daging yang halal adalah lebih baik memilih sumber yang lain seperti ikan dan juga sayuran.

Berkaitan dengan pinggan dan mangkuk yang dikongsi, anda haruslah membersihkannya terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Abu Nizar.

والله أَعلم وأَحكم

Read More......