Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Thursday, March 12, 2009

MAJLIS TADARUS AL-QURAN
SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
KALI KE 35 1430/2009

PERINGKAT DAERAH MIRI – BAKONG

TARIKH: 25 DAN 26 MAC 2009
HARI: RABU DAN KHAMIS
TEMPAT: SMK PUJUT, MIRI.


TEMA:
AL-QURAN PEMANGKIN MODAL INSAN CEMERLANG


*** Jangan lupa cabut undi pada 24 Mac 2009 jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Pujut, Miri.

Read More......

Friday, March 6, 2009

WAHAI RASULULLAH! KAMI RINDU PADAMU


Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah

Sambutan Maulidur Rasul adalah satu amalan yang baik dan ia dinamakan “bid’ah hasanah” (ikutan yang baik), orang yang pertama melakukan sambutan Maulidur Rasul ini ialah seorang Raja iaitu Raja Irbil, beliau adalah seorang yang alim, bertakwa dan berilmu, beliau dikenali dengan nama ‘Muzaffar’, nama sebenar beliau ialah Abu Said Kaukabary bin Zainuddin Ali. Sambutan yang dilakukannya ialah pada kurun yang ke tujuh hijrah.

Alim ulama yang ada pada ketika itu termasuklah daripada ahli hadis dan ahli sufi telah memuji dan menggalakkan sambutan ini dilakukan pada setiap tahun, seorang ulama yang terkenal dan masyhur pada ketika itu Ibn Dahiyah telah memasuki negara Maghrib kemudian memasuki negara Syam dan bertemu dengan Raja Irbil pada tahun 604 hijrah dan beliau telah memberi perhatian kepada sambutan Maulidur Rasul lalu menulis sebuah kitab yang dinamakan “At-tanwir fi maulidil bashirul nazir” yang mengandungi cerita tentang kelahiran nabi Muhammad Alaihissalam. Kemudian seorang ulama lagi iaitu al-Hafiz al-Iraqi telah menulis sebuah lagi kitab menceritakan tentang kelahiran nabi Muhammad yang bertajuk “ Mauridul hani fi maulidin nabi”.

Ulama-ulama, fuqahak, ulama hadis dan ahli sufi seperti Syeikhul Islam Ibnu Hajar al-Asqolani, Imam al-Hafiz as-Saqawi dan al-Hafiz as-Sayuti sehinggalah ulama masa kini seperti Muhaddis Negara Syam Syeikh Abdullah Harari, Pakar hadis Negara Jordan Syeikh Hassan Saqqaf, ulama Azhar seperti Syeikh Muhammad Baqid al-Mutiie, Mufti negara Lubnan yang lepas Syeikh Mustafa Najar dan banyak lagi telah menggalakkan umat Islam menyambut Maulidur Rasul.

Memperingati Kelahiran Nabi Yang Mulia

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hasyim bin Abdul Manaf daripada keturunan Quraisy hamba Allah dan Rasul-Nya telah dilahirkan pada hari ke 12 (ada perbezaan pendapat pada tarikh ini, ada yang berpendapat pada hari ke 9 dan yang selalu disambut adalah pada hari ke 12) bulan Rabiul Awal tahun gajah, tahun yang merupakan Allah meranapkan cita-cita Abrahah untuk meruntuhkan Kaabah. Manakala hari baginda di lahirkan ialah pada hari isnin disepakati oleh para ulama dan tidak ada khilaf.

Tempat kelahiran baginda Alihissalam yang sahih ialah di Mekah dan ramai dikalangan ulama mengatakan tempat kelahiran baginda itu di satu tempat yang di kenali sebagai ‘sukhul lail’. Diriwayatkan bahawa ketika Aminah sedang mengandungkan nabi, dia telah menganggkat tangannya ke langit (kerana langit merupakan kiblat doa dan tempat turunnya rahmah Allah) dan berdoa. Semasa kelahirannya telah keluar bersama baginda cahaya yang menerangi istana-istana Syam.

Pada malam kelahiran baginda juga telah bergegar tiang seri Qaisar dan telah jatuh daripadanya 14 tiang, telah padamnya api di negara parsi yang mana api tersebut tidak pernah padam sejak 1000 tahun yang lalu dan air di tasik saawah telah kering. Iblis-iblis pada hari tersebut telah ditutup pintu untuk mendengar berita daripada langit. Begitulah kebesaran hari kelahiran baginda Alaihisslam.

Keturunannya

Telah diriwayat daripada Imam At-Tirmizi bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “sesungguhnya Allah telah menjadikan daripada Nabi Ibrahim anaknya Nabi Ismail dan telah menjadikan daripada anak Nabi Ismail bani kinanah dan Allah menjadikan dari bani Kinanah orang Quraish dan dari Quraish itu Allah jadikan bani Hashim dan daripada bani Hashim itu dijadikan aku”.

Bapanya Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hasyim telah meninggal ketika baginda masih berada dalam kandungan ibunya 6 bulan, bondanya Aminah binti Wahab, nabi telah disusukan oleh Halimah Saadiah, dan orang yang menjaganya ialah Ummu Aiman al-Habasyi, ketika umurnya mencapai 5 tahun baginda telah diserahkan semula kepada ibunya.

Pada umur baginda menjangkau 6 tahun Ibunya Aminah telah meninggal dan baginda telah dijaga oleh datuknya Abdul Muttalib, selepas datuknya meninggal ketika usianya 8 tahun, baginda telah di jaga oleh bapa saudaranya Abu Thalib. Ketika mencapai umur 12 tahun baginda telah keluar bersama dengan bapa saudaranya Abu Thalib berdagang ke negara Syam dan sering berulang alik dari sana.

Kemudian baginda berkahwin dengan Saidatina Khadijah ketika usianya 25 tahun dan pada usianya mencecah 40 tahun baginda telah diangkat menjadi Rasul yang terakhir bagi sekelian makhluk. Allah berfirman yang maksudnya : “Adapun manusia itu asalnya umat yang satu, lalu Allah mengutuskan para nabi yang membawa khabar gembira dan juga pemberi amaran”. [al-Baqarah: 213]

Nabi Muhammad berjihad menyampaikan dakwah Islam selama lebih kurang tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah iaitu berjihad dengan lidah di Mekah dan dengan kekuatan senjata ketika di Madinah.

Kesilapan yang Perlu di Perbetulkan

Antara fahaman yang sering disebarkan oleh segelintir penceramah semasa Maulidur Rasul ialah mempercayai bahawa makhluk pertama dicipta oleh Allah ialah Nur (cahaya) Nabi Muhammad, fahaman ini diambil daripada hadis palsu yang sering disebut pada sambutan Maulidur Rasul iaitu hadis yang dinasabkan riwayatnya dari Jabir. Antara ulama yang mengatakan hadis ini adalah palsu ialah Muhaddis dari Maghribi iaitu Syeikh Abdullah al-Qhumari dalam kitabnya 'Mursyidul Haair LiBayan Waz'u Hadis Jabir' dalam kitab yang dituliskan khas mengenai hadis Jabir tersebut dia menjelaskan bahawa hadis tersebut adalah palsu dan ianya bukan sahih, Muhaddis Negara Syam Syeikh Abdullah al-Harari turut menjelaskan kebatilan hadis tersebut dalam risalahnya diberi judul ‘Risalah Fi Butlan Da’wa Awwaliyyah an-Nur al-Muhammadi’.

Maka disini sukalah saya menjelaskan bahawa makhluk pertama yang dicipta oleh Allah ialah ‘AIR’ bukannya ‘nur’ Nabi Muhammad seperti yang tersebar dikalangan orang awam. Firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 30:

"وجعلنا من الماء كل شيء حىّ"

Maksudnya: “dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup”.

Hujah dari hadis pula ialah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan juga Imam Baihaqi bahawa nabi bersabda:

"كان الله ولم يكن شيء غيره، وكان عرشه على الماء"

Maksudnya: “kewujudan Allah adalah azali, tidak ada bersamanya sesuatu, dan Arash itu di atas air”.

Imam Ibnu Hajar turut menjelaskan maksud hadis tersebut dalam kitabnya ‘Fathul Baari Syarah Sohih Bukhari’ dia berkata: ‘sesungguhnya air dan Arash adalah permulaan makhluk dicipta sebelum Allah menciptakan langit dan bumi, dan tidak ada di bawah Arash itu melainkan air’.


والله تعالى أعلم وأحكم

Read More......