Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Saturday, May 9, 2009

KORBAN DAN AKIKAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bersyukur kepada ilahi di atas nikmat iman, islam dan sebagainya yang mana telah diberikan kepada kita hari ini. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua. Pada kesempatan ini, dengan ruang masa, ruang kesihatan yang diizinkan Allah dapatlah saya menulis beberapa ilmu yang boleh kita berkongsi bersama.
Baru-baru ini seorang sahabat berniat untuk membuat ibadah korban dan akikah. oleh yang demikian, sahabat ini telah menanyakan beberapa soalan berkaitan dengan ibadah korban dan akikah tersebut. Antara soalan yang diajukan yang sempat saya tulis ialah :
1) Apakah itu korban dan akikah?
2) Bagaimanakah pula hukum korban dan akikah?
3) Bilakah masa yang dituntut?
4) Apakah syarat-syarat sah bagi korban dan akikah?
5) Apakah yang sebaik-baiknya kita lakukan dengan daging korban dan akikah?
6) Bolehkan kita berkongsi korban dengan menyembelih seekor lembu ataupun kambing
untuk satu keluarga?
7) Bolehkah tulang dan kulit binatang yang dikorbankan dijual?

Jawapan:
1) Korban adalah salah satu bentuk ibadat tersendiri yang dilakukan oleh hamba kepada Allah dengan menyembelih binatang ternakan sempena menyambut Hari Raya Korban.
Akikah menurut pengerian syarak adalah menyembelih binatang ternakan pada hari mencukur rambut kana-kanak selepas 7 hari kelahirannya.
2) Hukum korban dan akikah adalah sunat muaakad.
dalil korban: surah al-kausar ayat 1 dan 2 yang bermaksud "Kami anugerahkan kepadamu sebuah sungai di syurga. Maka bersolatlah untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berkorban)"
dalil akikah: Nabi Muhammad SAW menjelaskan dalam hadisnya yang bermaksud "Kanak-kanak itu dipertaruhkan dengan akikahnya. Oleh itu perlu disembelih untuknya pada hari yang ke7, dicukurkan rambutnya dan diberi nama".
3) Masa yang dituntut berkorban bermula daripada 10 Zulhijjah sebaik sahaja selesai solat sunat Hari raya korban sehingga jatuh matahari hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.
Masa yang dituntut berakikah pula ialah selepas 7 hari kelahiran anak.
4) Syarat sah bagi korban ialah :
-niat
-binatang yang sihat, tidak berpenyakit, tidak cacat, cedera dan sebagainya.
-binatang yang sudah cukup umur
a)kerbau, lembu dan kambing yang berumur 2 tahun.
b)biri-biri yang berumur setahun.
-perlu disembelih dalam waktunya, iaitu pada hari 10 hingga 13 Zulhijjah.
Syarat sah bagi akikah ialah : sama seperti syarat korban, kecuali waktunya tidak sama. sekurang-kurangnya akikah adalah seekor kambing dan sebaik-baiknya disembelih 2 ekor kambing ataupun biri-biri bagi anak lelaki dan seekor bagi anak perempuan.
5) Daging korban perlu disedekahkan kepada orang ramai secara mentah, manakala daging akikah perlu disedekahkan kepada orang ramai selepas dimasak terlebih dahulu. boleh juga dibuat kenduri dan dijemput orang ramai menghadiri jamuan.
6) Ibadah korban tidak boleh dikongsi, cuma apa yang dibolehkan adalah berkongsi bahagian-bahagian unta, kerbau, ataupun lembu sebanyak 7 orang, sama ada ahli keluarga ataupun orang asing, tetapi kambing ataupun biri-biri hanya untuk seorang sahaja.
7) Tulang dan kulit binatang yang dikorbankan tidak boleh dijual malah haram menjual mana-mana bahagian daripada binatang yang dikorbankan sama ada daging, tulang, kulit ataupun sebagainya. juga dilarang memberi daging sebagai upah sembelih, tetapi tidak salah apabila diberi atas dasar sedekah.

Inilah beberapa jawapan yang sempat saya berikan berdasarkan sumber rujukan yang saya peroleh diantaranya rujukan dari Dato' Dr. Haron Din menjawab persoalan fekah harian, tulisan bersama Ishak Din & Abu Hassan Din. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua. amin....

0 comments:

Post a Comment