Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Monday, April 6, 2009

ASAL MANUSIA ADALAH UMAT YANG SATU

Allah berfirman yang bermaksud: “Adapun manusia itu asalnya umat yang satu, lalu Allah mengutuskan para nabi yang membawa khabar gembira dan juga amaran”. [Al-Baqarah:213]

Ayat ini memberitahu kita bahawa manusia pada asalnya kesemuanya berada di atas agama yang satu iaitu Islam. Sabda nabi mafhumnya "Nabi-nabi adalah bersaudara, agama mereka satu dan Ibu mereka berbeza-beza (iaitu syariat yang diturunkan kepada mereka adalah berbeza)". [H.R Muslim]

Rasul dan Nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah sejak dari nabi Adam sehinggalah kepada nabi Muhammad adalah menyeru kepada agama yang satu iaitu Islam, cuma yang berbeza ialah syariat yang diturunkan kepada mereka.

Nabi Adam adalah Rasul dan nabi pertama diatas muka bumi ini dan baginda merupakan insan yang pertama di turunkan di atas muka bumi ini, beliau diutuskan dengan agama Islam dan juga mengajar anak-anaknya hukum-hakam Islam dan mereka menunaikan sembahyang mengikut syariat Nabi Adam.

Nabi Adam adalah manusia terawal di atas muka bumi. Oleh itu manusia yang awal hidup di atas muka bumi ini bukanlah manusia liar dan ganas seperti yang dipercayai oleh sesetengah pihak dan golongan barat.

Adapun Nabi Adam selepas diturunkan daripada syurga Allah mengajarkannya hukum-hakam agama melalui wahyu yang diturunkan ke atas baginda. Baginda pula mengajarkannya kepada isteri baginda, Hawa, dan anak-anak baginda agama dengan hukum-hakam seperti cara menunaikan sembahyang. Dan baginda juga mengajar mereka apa yang diharamkan oleh Allah serta mengajar mereka supaya menjauhi syirik kepada Allah dan baginda juga memberitahu mereka bahawa memakan daging babi adalah haram dan seterusnya perkara-perkara lain.

Dalam syariat Nabi Adam, daging babi adalah haram dan begitu juga dengan bangkai-bangkai haiwan.

Allah telah mengajar Nabi Adam urusan hidup di dunia. Allah telah mengajar baginda cara mengeluarkan emas dan perak dari perut bumi. Dan Allah juga mengajar baginda cara membuat wang daripada emas dan perak. Seterusnya Nabi Adam mengajar anak-anaknya urusan hidup di dunia seperti mengajar mereka cara mebina rumah untuk menjadi tempat tinggal mereka.

Allah juga mengajar Nabi Adam bahasa pertuturan dan kemudian Nabi Adam mengajar bahasa pertuturan tersebut kepada anak-anak baginda. Tetapi kebanyakan pertuturan Nabi Adam bersama anak-anaknya adalah dalam bahasa Suryani.

Maksud firman Allah: "Adapun manusia itu umat yang satu", ialah manusia asalnya beragama Islam. Kemudian manusia bertelingkah lalu lahirlah agama-agama lain. Sekumpulan menyembah Allah dan sekumpulan yang lain menyembah selain daripada Allah.

Dan maksud firman Allah: "Lalu Allah utuskan para Rasul yang membawa khabar gembira dan juga amaran", ialah Allah mengutuskan para nabi untuk memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa bagi mereka syurga yang abadi di akhirat. Dan mereka memberi amaran kepada orang-orang yang kufur kepada Allah dengan azab yang abadi tanpa henti di akhirat kelak.

Nabi Adam, nabi Syis dan juga nabi Idris di utuskan kepada umat Islam tidak kepada kafir kerana pada ketika itu kekufuran tidak lagi wujud di muka bumi, kekufuran hanya bermula sejak nabi Nuh diutuskan. Sebab itu Nabi nuh dikatakan adalah Rasul pertama yang di utuskan kepada orang kafir untuk menyeru kepada Islam.

Faedah: Diriwayatkan bahawa Nabi Adam dikeluarkan dari syurga dan diturunkan di India di satu tempat yang bernama Sarnadib mengikut pendapat yang paling masyhur.

Dan Hawa pula diturunkan di satu tempat yang bernama Judah. Nabi Adam mencari Hawa dan mereka bertemu di Muzdalifah yang terletak antara Mekah dan Arafah. Mengikut pendapat lain mereka bertemu di satu tempat yang bernama Arafah. Sementara Iblis pula diturunkan di satu tempat yang bernama Al-Ublah di Iraq.

Faedah: Dikatakan bahawa tempat yang paling harum baunya di atas muka bumi ini ialah tempat di mana Nabi Adam diturunkan. Ini disebabkan bauan syurga melekat di pohon-pohon yang terdapat di tempat tersebut.

Wallahhu Taala A'lam Wa Ahkam.

0 comments:

Post a Comment