Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Sunday, December 27, 2009

Nasihat Perkahwinan


PERKAHWINAN adalah satu amalan disyariatkan Allah kepada hamba-Nya malah hikmah sesebuah perkahwinan sangat besar. Selain menunaikan perintah Allah dan mengikut sunnah Rasulullah, ia saluran yang sah dan suci untuk mengembangkan zuriat keturunan.

Membina dan mengekalkan sebuah perkahwinan yang bahagia bukannya boleh dilakukan dalam sekelip mata. Ia memerlukan waktu dan hendaklah disusuli dengan usaha.

Sabda Rasulullah: "Hak (tanggungjawab) yang paling besar ke atas perempuan itu ialah suaminya dan hak (tanggungjawab) manusia ke atas lelaki adalah ibunya". [H.R Hakim dan lainnya].

Hadis di atas menerangkan betapa besarnya hak lelaki yang wajib ke atas isterinya. Haram bagi isteri keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya. Haram juga baginya membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumahnya orang yang tidak diizini oleh suaminya samada saudaranya atau orang lain. Haram juga ke atas isteri jika menghalang suami ketika berhajat kepadanya samada istimtak atau jimak, tetapi jika ada keuzuran maka itu diharuskan. Keuzuran itu seperti sakit atau dalam keadaan haid atau nifas atau dalam keadaan waktu solat terlalu sempit.

Islam juga mengajar kita tidak diwajibkan ke atas perempuan mentaati suaminya jika disuruh melakukan perkara maksiat atau kejahatan, misalnya suaminya meminta kepadanya menghidangkan arak maka itu tidak wajib dipenuhi. Kerana kaedah mengatakan bahawa tidak boleh taat kepada makhluk atas maksiat kepada Khalik(pencipta).

Hak isteri ke atas suaminya pula ialah :

Hendaklah suami itu memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian dan tidak memukul isterinya itu tanpa sebab yang di bolehkan dan tidak menzaliminya.

Tetapi jika sekiranya si isteri tersebut tidak memberikan hak kepada suaminya, seperti keluar rumah tanpa izinnya maka tidak diwajibkan ke atas suaminya untuk memberi nafkah. Dan hendaklah si suami itu menasihati dan mengingatkan isterinya tentang kewajipannya dan menyuruhnya supaya takut dan bertakwa kepada Allah.

Menjadi juga kewajipan ke atas suami supaya mengajarkan perkara-perkara fardu tentang agamanya, jika suami tidak mengetahui tentang hal-hal agama maka hendaklah ianya menyuruh isterinya supaya mempelajari ilmu yang wajib ke atasnya itu dari orang yang tahu tentang agama. Hendaklah suami menyuruh isterinya melakukan perkara-perkara yang baik dengan melakukan solat lima waktu dan melakukannya terus menerus, begitu juga berpuasa, menutup aurat dihadapan lelaki yang ajnabi dan sebagainya.

Dan melakukan kebaikan di antara satu sama lain dalam bab-bab yang lain yang di haruskan oleh syarak adalah sangat-sangat digalakkan. Dan ianya di beri pahala jika melakukannya dengan niat yang ikhlas. Dalam sebuah hadis nabi telah bersabda seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Omar: "Dunia itu satu perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia itu ialah wanita yang solehah". [H.R Muslim].

Masalah:
Tidak jatuh talak jika suami jimakkan isterinya melalui dubur, tetapi hukumnya itu adalah haram.

Read More......

Tuesday, September 29, 2009

Puasa Sunat Syawal

Disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawal berdasarkan hadis nabi di bawah:

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الأَنْصَارِيّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتَّاً مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ". رواه مسلم

Daripada Abi Ayyub al-Ansory r.a bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal seumpamalah dia berpuasa selama setahun”. – H.R Imam Muslim

Imam Nawawi dalam syarah sohih muslim berkata: sebaik-baiknya adalah berpuasa enam hari berturut-turut selepas hari raya aidil fitri, sekiranya dia menjarakkannya atau berpuasa diawal atau diakhir syawal tetap mendapat pahala fadhilat puasa enam syawal tersebut.

Berkata sebahagian ulama: adapun yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan pahalanya menyamai setahun adalah kerana setiap pahala akan digandakan dengan sepuluh kali ganda. Maka satu bulan Ramadhan adalah menyamai dengan 10 bulan dan enam hari bulan syawal pula menyamai dengan dua bulan maka sempurnalah dua belas bulan atau setahun. (hadis marfu’).

Soalan:
Sering menjadi persoalan ialah adakah boleh kita berpuasa dengan ada dua niat seperti perempuan berpuasa qada (ganti) wajib dan pada masa yang sama juga berniat sunat syawal adakah dibolehkan dan adakah dapat kedua-dua pahala?

Jawapan:
Masalah ini disisi ulama fekah dinamakan masalah ‘tashrik’ (menghimpunkan dua ibadat dalam niat yang satu). Hukumnya adalah sekiranya dia dari maksud ibadah yang sama adalah sah maka terhasillah dua fahdilat dalam satu perkerjaan ibadah. Contohnya seperti mandi wajib pada hari jumaat untuk mengangkat hadas besar dan pada masa yang sama niat untuk mandi sunat jumaat, maka dalam bab ini mandi wajibnya adalah terangkat dan pada masa yang sama juga dia mendapat fadhilat sunat mandi jumaat.

Adapun menghimpunkan dua ibadat yang mempunyai maksud yang berbeza seperti puasa qada atau nazar atau kafarah dengan puasa sunat seperti sunat syawal maka ulama tidak meletakkan masalah ini dalam masalah ‘tashrik’ kerana setiap dari ibadah ini ada kehendak yang berbeza antara satu sama lain maka suatu ibadah itu tidak boleh terangkat dengan ibadah yang lain.

Syarqawi berkata dalam tahrir atas Syaikh Islam Zakaria al-Ansory: sekiranya seorang itu berpuasa qada Ramadhan pada bulan syawal dia tetap juga mendapat pahala sunat syawal akan tetapi pahalanya tidaklah sempurna sepertimana orang yang berpuasa berasingan secara khusus.

Dalam Fatawa Syaikh Ramli pula menyebut: seorang itu akan mendapat pahala kedua-duanya sekiranya ada niat pada kedua-duanya. Ini adalah pendapat ulama mutaakhirin.

Dalam syarah tanbih oleh Hafiz as-Sayuthi: daripada fatawa al-Barizi: sekiranya seorang itu berpuasa pada hari arafah (wuquf) dan dia niat juga bersama qada atau kafarah maka sah dan dia dapat kedua-duanya sekali. Adapun asnawi berkata pendapat ini ditolak kerana tidak termasuk dalam masalah ‘tashrik’, dia hanya dapat yang fardu sahaja.

Kesimpulan:
Kita berpegang pada kedua-dua pendapat iaitu secara muktamadnya jika dia berpuasa qada dan pada masa yang sama niat sunat syawal maka sah dan dapat pahala kedua-duanya akan tetapi pahala tidak sama dengan orang yang berpuasa secara berasingan iaitu secara khusus. Maka afdhalnya iaitu sebaik-baiknya hendaklah kita mengerjakan puasa itu berasingan secara khusus, puasa qada adalah berasingan dengan puasa sunat enam syawal.

والله أعلم وأحكم
أبو نزار

Read More......

Sunday, September 27, 2009

EID MUBARAK


عيد المبارك

كل عام وأنتم بخير

تقبل الله طاعتكم وغفر لنا ولكم وبارك الله فيكم

Read More......

Friday, August 14, 2009

AHLAN RAMADHAN KARIM

Allah berfirman surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

Maksudnya: ”(Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”.

Puasa bulan Ramadhan seperti yang diketahui ialah wajib kerana ianya termasuk diantara perkara-perkara yang besar dalam agama Islam dan bulan Ramadhan itu sendiri merupakan sebaik-baik bulan dan di dalamnya pula terdapat malam yang terbaik diantara malam iaitu malam Lailatul Qadar. Begitu juga yang dapat kita mengetahui bahawa sebaik-baik hari dalam setahun ialah hari Wukuf di Arafah dan begitu juga sebaik-baik hari dalam seminggu ialah hari Jumaat.

Fardu puasa bulan Ramadan telah disyariatkan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah, Rasulullah telah berpuasa semenjak dari syariat itu di turunkan ialah selama 9 tahun kemudian baginda pun wafat.

Read More......

Wednesday, July 15, 2009

Peristiwa Mukjizat Israk dan Mikraj



Allah Taala berfirman:

Mafhumnya: ”Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [Surah Israk :1]

Tanggal 27 Rajab, atas perintah Allah Taala Malaikat Jibril datang dengan membawa tunggangan dari syurga yang disebut dengan Buraq. tunggangan yang mempunyai kepantasan yang luar biasa, sejauh mata Buraq memandang maka sejauh itu pulalah Buraq melangkah. Dengan tanpa meninggalkan sebarang kesan Malaikat Jibril membuka bumbung rumah Ummu Hanik tempat Rasulullah tidur pada malam itu di antara Hamzah dan Jaafar bin Abi Thalib, perlahan-lahan Jibril bangunkan Rasulullah dan membawanya ke Kaabah seterusnya membelah dada baginda untuk kali yang kedua tanpa ada rasa kesakitan dan kesan lalu dibersihkan dengan air zam-zam. Seterusnya Rasulullah dengan menaiki Buraq dan Jibril keluar untuk menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah, baik yang berada di bumi mahupun yang berada di langit.

Israk

Para ahli salaf, khalaf, mufassirin, mutakallimin dan ulama-ulama fekah bersependapat bahawa peristiwa israk ini berlaku dengan jasad dan ruh secara serentak dalam keadaan sedar dan bukannya tidur. Peristiwa ini berlaku pada malam hari membawa nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin.

Dari masjidi Haram Rasulullah memulai perjalanan Israknya dengan melalui beberapa tempat bersejarah antaranya Madinah, Thur Sina (tempat nabi Musa mendengar Kalam Allah tanpa perantaraan malaikat), Madyan (perkampungan nabi syuaib), Baitil Laham (tempat lahirnya nabi Isa), makam keluarga Mashithah dan sehingga akhirnya beliau sampai di masjidil Aqsa, di masjid inilah Rasulullah dipertemukan dengan semua para nabi dan melakukan solat dua rakaat dengan para nabi dan sekaligus menjadi imam kepada mereka, ini juga merupakan dalil bahawa Nabi Muhammad adalah nabi yang termulia di antara para nabi.

Di antara keajaiban ciptaan Allah yang disaksikan Rasulullah ketika Israk adalah :

1. Dunia, Rasulullah melihatnya dalam bentuk seorang wanita yang sangat tua. Hal ini menggambarkan bahawa dunia dengan segala bentuk dan isinya yang mengairahkan akan lenyap dan fana, sebagaimana seorang wanita yang ketika mudanya sangat cantik dan menawan, akan hilang kecantikannya ketika sudah tua.

2. Iblis, Rasulullah melihat seseorang yang berada di pinggir jalan, dialah Iblis yang pada mulanya beriman kepada Allah kemudian dia kufur kerana menentang-Nya. Dia termasuk dari golongan Jin, bukan dari jenis malaikat. Iblis tidak berani bercakap kepada Rasulullah atau berbuat jelek terhadapnya.

3. Para Mujahid di jalan Allah, Rasulullah melihat sekelompok kaum yang menanam dan menuai hasilnya dalam tempoh 2 hari. Jibril berkata kepada Rasulullah : "Merekalah orang-orang yang berjuang di jalan Allah".

4. Para penceramah pembawa fitnah, Rasulullah melihat mereka memotong lidah dan bibir mereka dengan gunting dari api.

Mikraj

Setelah Israk, Rasulullah yang ditemani Malaikat Jibril meneruskan perjalanannya menuju Sidratul Muntaha. Perjalanan ini disebut dengan Mikraj, perjalanan yang dimulai dari masjid al Aqsa hingga ke sidratul Muntaha atas langit ketujuh.

Sampai di langit pertama Rasulullah berjumpa dengan nabi Adam, naik ke langit kedua baginda bertemu pula dengan nabi Isa dan Nabi Yahya, di langit ketiga bertemu dengan nabi Yusof, di langit keempat dengan nabi Idris, kelima dengan nabi Harun, seterusnya di langit keenam bertemu dengan nabi Musa dan di langit yang ketujuh baginda dipertemukan dengan nabi Ibrahim.

Keajaiban-keajaiban Mikraj

Ketika Rasulullah berada di suatu tempat yang berada di atas (suatu tempat yang lebih tinggi dari langit ke tujuh), baginda diperlihatkan oleh Allah beberapa keajaiban ciptaan-Nya. Antaranya ialah:

1. al Bait al Ma'mur, iaitu rumah yang dimuliakan, yang berada di langit ke tujuh. Setiap hari 70.000 malaikat masuk ke dalamnya lalu keluar dan tidak akan pernah kembali lagi dan seterusnya.

2. Sidratul Muntaha, iaitu sebuah pohon yang amat besar dan indah, tak seorangpun dari makhluk yang dapat menyifatkannya.

3. Syurga, iaitu tempat kenikmatan yang disediakan oleh Allah bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Syurga berada di atas langit yang ke tujuh dan sekarang sudah ada.

4. Arasy, iaitu makhluk Allah yang paling besar bentuknya. Arasy bukanlah tempat bagi Allah, kerana Allah tidak memerlukan kepada tempat. Saidina Ali pernah berkata :

"إن الله خلق العرش إظهارا لقدرته ولم يتخذه مكانا لذاته"

Maknanya: "Sesungguhnya Allah menciptakan Arasy untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, dan tidak menjadikannya tempat bagi Dzat-Nya". (Riwayat Abu Manshur al Baghdadi dalam al farq bainal firaq, hlm : 333)

Hanya dalam waktu sepertiga malam saja Rasulullah sudah kembali ke tempat tidurnya dari perjalanan Israk dan Mikrajnya. Sungguh menakjubkan, namun itulah bukti kekuasaan Allah yang sempurna dan tidak ada bandingannya dan inilah yang disebut dengan Mukjizat bukti kebenaran akan kenabian dan kerasulan nabi Muhammad Shallallahu alaihi Wasallam.

والله أعلم وأحكم
Abu Nizar

Read More......

Thursday, July 9, 2009

PERJUMPAAN USRAH KALI KE 12 / 2009

Assalamualaikum,

Dijemput kepada semua rakan usrah untuk hadir pada perjumpaan usrah kita kali Ke dua belas tahun ini pada hari Khamis 09 Julai 2009 bertempat di Surau SK Anchi, tentatif program adalah seperti berikut:

1. Solat Maghrib berjamaah
2. Bacaan Surah Yasin
3. Pengajian Tajweed
4. Talaqqi Kitab Akidah Muslimin
5. Solat Isyak berjamaah
6. Jamuan dan perbincangan isu semasa.

Allah berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ

Yang maksudnya: "Katakanlah, adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu?". [Az-Zumar:9]

Read More......

Sunday, June 28, 2009

IRSYAD HUKUM 2



Soalan:
Mengapa kadang2 ada segelintir orang menggoyangkan jari ketika membaca selawat pada bacaan tahiyyat akhir pada satu-satu solat? Adakah dalil atau mazhab yang boleh menerangkannya?

Jawapan:
Soalan ini akan dijawab berdasarkan hadis yang dipegang mazhab Imam Syafiee.

Hadis 1: Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Zubair: Bahawasanya dia menyebut bahawa Rasulullah menunjukkan dengan jari telunjuknya ketika tahiyat, dan dia tidak menggerakkannya. – Sanad hadis ini Sahih.

Hadis 2: Diriwayatkan juga dari Abu Daud dan Nasaie dari Malik bin Namir al_Qazaie dari bapanya berkata: Aku melihat Rasulullah meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya, mengangkat jari telunjuknya dan mencondongkan(telunjuknya) ke bawah sedikit.

Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Majmuk ada beberapa pendapat tentang menggerakkan jari telunjuk :

Pertama : Pendapat yang banyak dipegang oleh jumhur (kebanyakkan) ulama. Adalah tidak menggerakkannya, sekiranya dia menggerakkannya juga menjadi makruh tidak membatalkan solatnya. – Ini adalah pendapat yang paling sahih.

Kedua : Haram menggerakkannya, sekiranya dia menggerakkannya juga akan membatalkan solatnya. – Ini adalah pendapat yang dhoif (lemah).

Ketiga : Digalakkan menggerakkannya. – Ini adalah pendapat segelintir dari mazhab. Mereka berpegang pada hadis wail bin hajar : Bahawasanya dia melihat Rasulullah dalam tahiyyat mengangkat jari telunjuknya dan menggerakkan. Imam al-Baihaqi menghuraikan lebih lanjut tentang hadis ini dengan berkata maksud ’mengerakkannya’ dalam hadis itu ialah mengangkat sekali sahaja tanpa menggerakkannya. Pendapat al-Baihaqi adalah selari dengan hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Zubair.

Dalam kitab Tuhfatul Ahwazi karya Mubarak Furi ada menyebut hadis Abdullah bin Zubiar adalah lebih jelas dan nyata tidak menggerakkan/menggoyangkan jari ketika tahiyyat berdasarkan kepada isnadnya yang sahih. Hadis Abdullah bin Zubair juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya.

Kesimpulan:
Pegangan kita adalah yang pertama iaitu pendapat jumhur ulama mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat dan mencondongkannya sedikit ke bawah tanpa menggerak atau menggoyangkannya.

Abu Nizar.

والله تعالى أَعلم وأَحكم

Read More......