Berapa Kadar Secupak Beras?
Ramadhan hampir tiba, bagi yang masih ada hutang puasa tentu akan merancang membayar balik hutang tahun lepas, tidak kurang juga hutang yang tertunggak 2 atau tiga tahun lepas belum langsai lagi, bagi kes yang tertunggak dua tahun dan ke atas perlulah membayar denda 'pidyah' setahun untuk secupak beras.
Di Malaysia ada banyak pendapat tentang kadar 1 cupak antaranya ialah 556 gram, ada juga pendapat 675 gram dan ada juga pendapat 900 gram.
Jika kita merujuk kepada perkiraan dalam kitab fekah :
1 Sha’ = 4 Mud,
1 Mud = 412.5 gram. (anggaran di negara syam)
4 Mud = 1 Sha’
1 Sha’ = 1650 gram.
Untuk kesahihan perlulah merujuk kepada pusat zakat di negeri masing-masing.
Kadar ‘mud’ adalah dua tapak tangan yang sederhana. (tidak telalu besar dan tidak terlalu kecil). Ukuran dibuat dengan menggunakan tapak tangan orang arab bangsa Quraish.
1 Mud kita istilahkan dalam bahasa melayu sebagai 1 cupak
1 Sha’ pula kita istilahkan sebagai 1 Gantang
Mengapa tejadi sebegini perbezaan? Ini mungkin disebabkan ukuran di Syam adalah berbeza dengan ukuran di Baghdad.
Golongan mana yang dikenakan fidyah?
Golongan yang di wajibkan ganti ‘qoda’ bersama dengan membayar pidyah seperti perempuan yang mengandung atau menyusu sekiranya takut memberi kesan mudharat kepada anaknya maka dia boleh berbuka akan tetapi wajib kepadanya ganti ‘qoda’ dan membayar pidyah, kadar pidyah ialah sebanyak secupak untuk sehari.
= Begitu juga seorang yang tinggal puasanya dan tidak ‘qoda’ sehinggalah masuk ke Ramadhan seterusnya maka mereka ini di wajibkan membayar pidyah sebagai denda kerana melewatkan ‘qoda’ sehingga masuk ke Ramadhan seterusnya.
= Orang tua yang sudah uzur yang mana dia tidak lagi mampu untuk berpuasa sehingga sekiranya dia berpuasa akan menjadi kepayahan yang teruk kepadanya. Mereka ini boleh berbuka dan membayar setiap hari satu cupak sebagai ganti kepada puasanya.
= Orang yang sakit yang mana sakitnya itu tidak ada harapan lagi untuk sembuh seperti penyakit kencing manis, mereka ini tidak di wajibkan kepada mereka ‘qoda’ sebaliknya hanya membayar pidyah setiap hari dengan kadar cupak.
Kepada siapa bayaran fidyah ini dikeluarkan? Mereka yang layak menerimanya adalah fakir miskin.
Perkiraan bayaran fidyah:
Ramadan 1 1 = 1 cupak
Ramadan 2 2 1 = 3 cupak
Ramadan 3 3 2 1 = 6 cupak
Ramadan 4 4 3 2 1 = 10 cupak
Ramadan 5 5 4 3 2 1 = 15 cupak
Ramadan 6 6 5 4 3 2 1 = 21 cupak
Ramadan 7 7 6 5 4 3 2 1 = 28 cupak
Ramadan 8 8 7 6 5 4 3 2 1 = 36 cupak
Ramadan 9 9 8 7 6 5 4 3 2 1 = 45 cupak
Ramadan 10 10 9 8 7 6 5 4 3 2 1 = 55 cupak
Monday, July 12, 2010
Secupak Beras
Sunday, December 27, 2009
Nasihat Perkahwinan

PERKAHWINAN adalah satu amalan disyariatkan Allah kepada hamba-Nya malah hikmah sesebuah perkahwinan sangat besar. Selain menunaikan perintah Allah dan mengikut sunnah Rasulullah, ia saluran yang sah dan suci untuk mengembangkan zuriat keturunan.
Membina dan mengekalkan sebuah perkahwinan yang bahagia bukannya boleh dilakukan dalam sekelip mata. Ia memerlukan waktu dan hendaklah disusuli dengan usaha.
Sabda Rasulullah: "Hak (tanggungjawab) yang paling besar ke atas perempuan itu ialah suaminya dan hak (tanggungjawab) manusia ke atas lelaki adalah ibunya". [H.R Hakim dan lainnya].
Hadis di atas menerangkan betapa besarnya hak lelaki yang wajib ke atas isterinya. Haram bagi isteri keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya. Haram juga baginya membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumahnya orang yang tidak diizini oleh suaminya samada saudaranya atau orang lain. Haram juga ke atas isteri jika menghalang suami ketika berhajat kepadanya samada istimtak atau jimak, tetapi jika ada keuzuran maka itu diharuskan. Keuzuran itu seperti sakit atau dalam keadaan haid atau nifas atau dalam keadaan waktu solat terlalu sempit.
Islam juga mengajar kita tidak diwajibkan ke atas perempuan mentaati suaminya jika disuruh melakukan perkara maksiat atau kejahatan, misalnya suaminya meminta kepadanya menghidangkan arak maka itu tidak wajib dipenuhi. Kerana kaedah mengatakan bahawa tidak boleh taat kepada makhluk atas maksiat kepada Khalik(pencipta).
Hak isteri ke atas suaminya pula ialah :
Hendaklah suami itu memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian dan tidak memukul isterinya itu tanpa sebab yang di bolehkan dan tidak menzaliminya.
Tetapi jika sekiranya si isteri tersebut tidak memberikan hak kepada suaminya, seperti keluar rumah tanpa izinnya maka tidak diwajibkan ke atas suaminya untuk memberi nafkah. Dan hendaklah si suami itu menasihati dan mengingatkan isterinya tentang kewajipannya dan menyuruhnya supaya takut dan bertakwa kepada Allah.
Menjadi juga kewajipan ke atas suami supaya mengajarkan perkara-perkara fardu tentang agamanya, jika suami tidak mengetahui tentang hal-hal agama maka hendaklah ianya menyuruh isterinya supaya mempelajari ilmu yang wajib ke atasnya itu dari orang yang tahu tentang agama. Hendaklah suami menyuruh isterinya melakukan perkara-perkara yang baik dengan melakukan solat lima waktu dan melakukannya terus menerus, begitu juga berpuasa, menutup aurat dihadapan lelaki yang ajnabi dan sebagainya.
Dan melakukan kebaikan di antara satu sama lain dalam bab-bab yang lain yang di haruskan oleh syarak adalah sangat-sangat digalakkan. Dan ianya di beri pahala jika melakukannya dengan niat yang ikhlas. Dalam sebuah hadis nabi telah bersabda seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Omar: "Dunia itu satu perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia itu ialah wanita yang solehah". [H.R Muslim].
Masalah:
Tidak jatuh talak jika suami jimakkan isterinya melalui dubur, tetapi hukumnya itu adalah haram.
Friday, August 14, 2009
AHLAN RAMADHAN KARIM
Allah berfirman surah al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.
Maksudnya: ”(Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”.
Puasa bulan Ramadhan seperti yang diketahui ialah wajib kerana ianya termasuk diantara perkara-perkara yang besar dalam agama Islam dan bulan Ramadhan itu sendiri merupakan sebaik-baik bulan dan di dalamnya pula terdapat malam yang terbaik diantara malam iaitu malam Lailatul Qadar. Begitu juga yang dapat kita mengetahui bahawa sebaik-baik hari dalam setahun ialah hari Wukuf di Arafah dan begitu juga sebaik-baik hari dalam seminggu ialah hari Jumaat.
Fardu puasa bulan Ramadan telah disyariatkan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah, Rasulullah telah berpuasa semenjak dari syariat itu di turunkan ialah selama 9 tahun kemudian baginda pun wafat.
Friday, May 22, 2009
Keagungan Mazhab Imam Syafiee

Rasulullah pernah bersabda:
"لا تَسُبُّوا قُرَيشاً فإنَّ عَالِمَهَا يَمْلأُ طِبَاقَ الأرضِ عِلماً"
Maksudnya: “Janganlah kamu mencela bangsa Quraisy, sesungguhnya akan lahir seorang yang alim dia akan memenuhi dataran bumi ini dengan ilmu”.
Makna hadis ini ialah akan lahir seorang yang alim dari bangsa Quraisy dan permukaan bumi ini akan dipenuhi dengan ilmunya. Ulama berpendapat bahawa hadis amat bertepatan dengan Imam as-Syafiee kerana dia adalah dari bangsa Quraisy dan Imam mazhab selainnya iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bukanlah dari bangsa Quraisy. Ternyata mazhabnya tersebar amat luas hingga meliputi dari Negara Arab, Timur, Barat, Asia, Afrika dan Eropah.
Imam Muhammad bin Idris atau lebih mashur dengan panggilan as-Syafiee dilahirkan pada 150 Hijrah dan wafat pada 204 Hijrah pada usia 54 tahun. Imam Syafiee mempunyai suara yang merdu sehingga masyarakat pada zamannya yang ingin mendengar atau belajar bacaan al-Quran yang sahih yang boleh menyentuh jiwa dan perasaan mereka akan merujuk kepada Syafiee walaupun pada ketika itu usianya masih muda remaja.
Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Imam Syafiee pernah sampai ke Asia Tenggara semasa hayatnya. Namun demikian umat Islam di Asia Tenggara pada hari ini berpegang kuat dengan mazhab fekahnya yang dikenali dengan ‘mazhab Syafiee’. Ini merupakan hujah dah bukti yang kuat bahawa hadis di atas menunjukkan kepada keagungan mazhab Syafiee.
Seterusnya jika kita lihat dari segi hayatnya, Imam Syafiee tidak dikurniakan usia yang panjang. Berdasarkan kepada usianya tak mungkin dia dapat menyebarkan ilmunya ke serata dunia semasa hayatnya. Tetapi kebenaran sabda Rasulullah bahawa ilmunya akan akan memenuhi muka bumi, maka ilmu Imam Syafiee telah dikembangkan oleh oleh ulama-ulama yang mengikuti aliran fekah yang beliau asaskan dengan berdasarkan kitab induk beliau (al-UMM) sehingga mazhab beliau merupakan mazhab yang paling ramai pengikutnya di muka bumi pada masa sekarang.
Seorang ulama yang digelar ‘penghulu ahli hadis’ iaitu Imam Bukhari (Muhammad bin Ismail) pengarang kitab Sohih Bukhari adalah bermazhab Syafiee. Seorang lagi tokoh hadis yang agung digelar dengan ‘penutup ahli hadis’ al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani yang merupakan penulis kitab Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari turut bermazhab Syafiee.
Di medan Jihad pula siapa yang tak kenal dengan kehebatan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang telah membebaskan Palestin dari cengkaman tentera salib. Pemerintah dan panglima yang berpegang kuat dengan mazhab Imam Syafiee.
Keagungan Imam Syafiee dinukilkan dengan cermat dan amanah oleh Imam Tajuddin as-Subki dalam Tobaqat as-Syafieeyyah, siapa yang ingin mendapatkan lebih lagi kehebatan mazhab Syafiee bolehlah rujuk buku beliau.
والله أعلم وأحكم
Abu Nizar
Saturday, May 9, 2009
KORBAN DAN AKIKAH
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bersyukur kepada ilahi di atas nikmat iman, islam dan sebagainya yang mana telah diberikan kepada kita hari ini. Semoga Allah sentiasa merahmati kita semua. Pada kesempatan ini, dengan ruang masa, ruang kesihatan yang diizinkan Allah dapatlah saya menulis beberapa ilmu yang boleh kita berkongsi bersama.
Baru-baru ini seorang sahabat berniat untuk membuat ibadah korban dan akikah. oleh yang demikian, sahabat ini telah menanyakan beberapa soalan berkaitan dengan ibadah korban dan akikah tersebut. Antara soalan yang diajukan yang sempat saya tulis ialah :
1) Apakah itu korban dan akikah?
2) Bagaimanakah pula hukum korban dan akikah?
3) Bilakah masa yang dituntut?
4) Apakah syarat-syarat sah bagi korban dan akikah?
5) Apakah yang sebaik-baiknya kita lakukan dengan daging korban dan akikah?
6) Bolehkan kita berkongsi korban dengan menyembelih seekor lembu ataupun kambing
untuk satu keluarga?
7) Bolehkah tulang dan kulit binatang yang dikorbankan dijual?
Jawapan:
1) Korban adalah salah satu bentuk ibadat tersendiri yang dilakukan oleh hamba kepada Allah dengan menyembelih binatang ternakan sempena menyambut Hari Raya Korban.
Akikah menurut pengerian syarak adalah menyembelih binatang ternakan pada hari mencukur rambut kana-kanak selepas 7 hari kelahirannya.
2) Hukum korban dan akikah adalah sunat muaakad.
dalil korban: surah al-kausar ayat 1 dan 2 yang bermaksud "Kami anugerahkan kepadamu sebuah sungai di syurga. Maka bersolatlah untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berkorban)"
dalil akikah: Nabi Muhammad SAW menjelaskan dalam hadisnya yang bermaksud "Kanak-kanak itu dipertaruhkan dengan akikahnya. Oleh itu perlu disembelih untuknya pada hari yang ke7, dicukurkan rambutnya dan diberi nama".
3) Masa yang dituntut berkorban bermula daripada 10 Zulhijjah sebaik sahaja selesai solat sunat Hari raya korban sehingga jatuh matahari hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.
Masa yang dituntut berakikah pula ialah selepas 7 hari kelahiran anak.
4) Syarat sah bagi korban ialah :
-niat
-binatang yang sihat, tidak berpenyakit, tidak cacat, cedera dan sebagainya.
-binatang yang sudah cukup umur
a)kerbau, lembu dan kambing yang berumur 2 tahun.
b)biri-biri yang berumur setahun.
-perlu disembelih dalam waktunya, iaitu pada hari 10 hingga 13 Zulhijjah.
Syarat sah bagi akikah ialah : sama seperti syarat korban, kecuali waktunya tidak sama. sekurang-kurangnya akikah adalah seekor kambing dan sebaik-baiknya disembelih 2 ekor kambing ataupun biri-biri bagi anak lelaki dan seekor bagi anak perempuan.
5) Daging korban perlu disedekahkan kepada orang ramai secara mentah, manakala daging akikah perlu disedekahkan kepada orang ramai selepas dimasak terlebih dahulu. boleh juga dibuat kenduri dan dijemput orang ramai menghadiri jamuan.
6) Ibadah korban tidak boleh dikongsi, cuma apa yang dibolehkan adalah berkongsi bahagian-bahagian unta, kerbau, ataupun lembu sebanyak 7 orang, sama ada ahli keluarga ataupun orang asing, tetapi kambing ataupun biri-biri hanya untuk seorang sahaja.
7) Tulang dan kulit binatang yang dikorbankan tidak boleh dijual malah haram menjual mana-mana bahagian daripada binatang yang dikorbankan sama ada daging, tulang, kulit ataupun sebagainya. juga dilarang memberi daging sebagai upah sembelih, tetapi tidak salah apabila diberi atas dasar sedekah.
Inilah beberapa jawapan yang sempat saya berikan berdasarkan sumber rujukan yang saya peroleh diantaranya rujukan dari Dato' Dr. Haron Din menjawab persoalan fekah harian, tulisan bersama Ishak Din & Abu Hassan Din. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua. amin....
Sunday, April 12, 2009
MENGHINDARI DARI PENYAKIT WAS-WAS
FAKTOR YANG MENDATANGKAN PENYAKIT WAS-WAS
Ulama telah menyebut bahawa penyakit was-was ini ada dua faktor utama,yang pertama seseorang itu mudah was-was dalam sembahyang disebabkan oleh kelemahan kefahaman / fikirannya dan faktor yang kedua pula disebabkan seseorang tu tidak mempelajari hukum hakam fardu ain yang menyebabkan dia tidak dapat membezakan antara hukum fardu, sunat dan sebagainya perkara yang sebegini boleh mendatangkan was-was atau syak dalam ibadat yang dilakukannya.
Manakala di dalam sembahyang pula kadang-kadang seseorang itu hilang kyusyuk di dalam sembahyangnya dan menyebabkan dia terlupa rakaat dan perkara ini berulang di dalam sembahyang ini menyebabkan setiap kali dia mendirikan sembahyang datang penyakit was-was dan dia tidak dapat mengatasinya.
CARA MENGATASI MASALAH WAS-WAS
Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini? disana terdapat beberapa pendapat ulama tentang dan cara untuk menyelesaikan masalah ini, sekiranya sesaorang selalu datang syak pada dirinya seperti dia syak tentang bilangan rakaat dalam sembahyang misalnya, adakah dia berada dalam rakaat ketiga atau pada rakaat keempat?, disini mazhab Imam Syafie dan Jumhur ulama yang lain mengatakan hendaklah dia mengambil yang sedikit. Misalnya dia sembahyang zohor dia syak adalah dia dalam rakaat ketiga atau keempat? maka dia hendaklah mengambil pada bilangan yang yakin iaitu tiga, jadi disini dia hendaklah mengambil yang tiga dan dia kena tambah lagi satu rakaat untuk menyempurnakan sembahyangnya.
Friday, April 10, 2009
HUKUM BERSUGI ATAU BERSIWAK
Sebahagian ulama berselisih pendapat mengenai bersugi adakah mendapat fadhilat sunat bersugi sekiranya dia melakukan dengan tangan sahaja, terdapat pendapat di sisi mazhab imam Syafie mengatakan bahawa sekiranya dia menggunakan tangan tetap medapat fadhilat sunat bersugi dan ada diantara mereka pula mengatakan tidak mendapat fadhilat sunat tersebut.
Kita boleh menggunakan apa sahaja untuk bersugi dengan syarat alat tersebut hendaklah suci daripada najis dan bersifat kesat, kecualilah dengan tangan kerana dengan tangan bagi sesetengah pendapat tidak mendapat fadhlilatnya. Hukum siwak adalah sunat seperti mana tersebut dalam hadis nabi bersabda, mafhumnya: "bersiwak adalah membersihkan mulut dan mendapat keredaan daripada Allah". [H.R Abu Daud] Hadis ini isnadnya adalah kuat.
Orang yang berpuasa atau dalam bulan Ramadhan bersiwak adalah makruh selepas tergelincir matahari iaitu selepas 'zawal', ini bermakna sekiranya seorang yang berpuasa (sunat) atau berpuasa dalam bulan Ramadhan makruh sekiranya dia bersiwak selepas masuk waktu zohor, iaitu selepas masuk waktu zohor. Adalah lebih baik dia tidak bersiwak kerana diriwayatkan bahawa nabi bersabda mafhumnya: "bauan yang ada dalam mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik daripada bauan 'misk' disisi Allah", [H.R Bukhari] Hukum makruh akan tamat selepas masuknya wakti maghrib.
WAKTU-WAKTU YANG DITUNTUT BERSIWAK
Terdapat beberapa tempat utama yang dituntut untuk bersiwak antaranya ialah selepas berselang masa yang lama dan selepas meninggalkan makanan iaitu selepas makan hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut).
Masalah:
1-Seorang yang berpuasa kemudian dia makan sesuatu dengan keadaan yang terlupa atau makan dalam tidur atau dia termakan makanan yang baunya busuk adakah selepas waktu tergelincir matahari dia turut ditegah bersiwak?
Ulama mengatakan sekiranya dia termakan sesuatu yang baunya ditegah maka disini dia di bolehkan bersiwak tanpa ditegah.
2-Di sisi pendapat ulama Maliki sesiapa yang makan bawang ditegah memasuki Masjid dan orang tersebut boleh di perintah keluar kerana bauan bawang tersebut boleh mengganggu jemaah yang lain.
Bersugi selepas bangun daripada tidur, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sabda Nabi mafhumnya : "sekiranya seseorang bangun daripada tidur maka cucilah mulutnya dengan bersiwak"
Bersugi ketika hendak mendirikan sembahyang, perkara ini adalah sunat kerana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim sabda nabi mafhumnya: "sekiranya tidak menjadi keberatan kepada umatku sesungguhnya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali hendak mendirikan sembahyang" dan pada hadis yang lain sabda Rasulullah mafhumnya: "Dua rakaat dengan bersiwak adalah lebih baik daripada 70 rakaat tanpa siwak".
Faedah: Bersiwak hendaklah disertakan dengan niat perbuatan yang kita lakukan tersebut adalah kerana Rasulullah melakukannya sekiranya seseorang bersiwak tanpa niat sunat maka tidak ada pahala siwak baginya.
Begitu juga disunatkan bersiwak pada tempat-tempat yang lain seperti mengambil wuduk iaitu selepas membasuh tangan, sebelum bertayammum, sebelum membaca al-Quran, sebelum tawaf di Kaabah, sebelum sujud tilawah, sebelum sujud syukur, ketika hendak tidur dan ketika hampir kepada kematian. Dan sebaik-baiknya ketika bersiwak ini dengan menggunakan tangan kanan dan dimulai dengan mulut yang sebelah kanan juga dan menggosokkannya dengan lembut serta niat di dalam hati dengan perbuatan sunat.
Walllahu A’lam wa Ahkam.
Abu Nizar.
