Disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawal berdasarkan hadis nabi di bawah:
عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الأَنْصَارِيّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتَّاً مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ". رواه مسلم
Daripada Abi Ayyub al-Ansory r.a bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal seumpamalah dia berpuasa selama setahun”. – H.R Imam Muslim
Imam Nawawi dalam syarah sohih muslim berkata: sebaik-baiknya adalah berpuasa enam hari berturut-turut selepas hari raya aidil fitri, sekiranya dia menjarakkannya atau berpuasa diawal atau diakhir syawal tetap mendapat pahala fadhilat puasa enam syawal tersebut.
Berkata sebahagian ulama: adapun yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan pahalanya menyamai setahun adalah kerana setiap pahala akan digandakan dengan sepuluh kali ganda. Maka satu bulan Ramadhan adalah menyamai dengan 10 bulan dan enam hari bulan syawal pula menyamai dengan dua bulan maka sempurnalah dua belas bulan atau setahun. (hadis marfu’).
Soalan:
Sering menjadi persoalan ialah adakah boleh kita berpuasa dengan ada dua niat seperti perempuan berpuasa qada (ganti) wajib dan pada masa yang sama juga berniat sunat syawal adakah dibolehkan dan adakah dapat kedua-dua pahala?
Jawapan:
Masalah ini disisi ulama fekah dinamakan masalah ‘tashrik’ (menghimpunkan dua ibadat dalam niat yang satu). Hukumnya adalah sekiranya dia dari maksud ibadah yang sama adalah sah maka terhasillah dua fahdilat dalam satu perkerjaan ibadah. Contohnya seperti mandi wajib pada hari jumaat untuk mengangkat hadas besar dan pada masa yang sama niat untuk mandi sunat jumaat, maka dalam bab ini mandi wajibnya adalah terangkat dan pada masa yang sama juga dia mendapat fadhilat sunat mandi jumaat.
Adapun menghimpunkan dua ibadat yang mempunyai maksud yang berbeza seperti puasa qada atau nazar atau kafarah dengan puasa sunat seperti sunat syawal maka ulama tidak meletakkan masalah ini dalam masalah ‘tashrik’ kerana setiap dari ibadah ini ada kehendak yang berbeza antara satu sama lain maka suatu ibadah itu tidak boleh terangkat dengan ibadah yang lain.
Syarqawi berkata dalam tahrir atas Syaikh Islam Zakaria al-Ansory: sekiranya seorang itu berpuasa qada Ramadhan pada bulan syawal dia tetap juga mendapat pahala sunat syawal akan tetapi pahalanya tidaklah sempurna sepertimana orang yang berpuasa berasingan secara khusus.
Dalam Fatawa Syaikh Ramli pula menyebut: seorang itu akan mendapat pahala kedua-duanya sekiranya ada niat pada kedua-duanya. Ini adalah pendapat ulama mutaakhirin.
Dalam syarah tanbih oleh Hafiz as-Sayuthi: daripada fatawa al-Barizi: sekiranya seorang itu berpuasa pada hari arafah (wuquf) dan dia niat juga bersama qada atau kafarah maka sah dan dia dapat kedua-duanya sekali. Adapun asnawi berkata pendapat ini ditolak kerana tidak termasuk dalam masalah ‘tashrik’, dia hanya dapat yang fardu sahaja.
Kesimpulan:
Kita berpegang pada kedua-dua pendapat iaitu secara muktamadnya jika dia berpuasa qada dan pada masa yang sama niat sunat syawal maka sah dan dapat pahala kedua-duanya akan tetapi pahala tidak sama dengan orang yang berpuasa secara berasingan iaitu secara khusus. Maka afdhalnya iaitu sebaik-baiknya hendaklah kita mengerjakan puasa itu berasingan secara khusus, puasa qada adalah berasingan dengan puasa sunat enam syawal.
والله أعلم وأحكم
أبو نزار
Tuesday, September 29, 2009
Puasa Sunat Syawal
Friday, August 14, 2009
AHLAN RAMADHAN KARIM
Allah berfirman surah al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.
Maksudnya: ”(Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”.
Puasa bulan Ramadhan seperti yang diketahui ialah wajib kerana ianya termasuk diantara perkara-perkara yang besar dalam agama Islam dan bulan Ramadhan itu sendiri merupakan sebaik-baik bulan dan di dalamnya pula terdapat malam yang terbaik diantara malam iaitu malam Lailatul Qadar. Begitu juga yang dapat kita mengetahui bahawa sebaik-baik hari dalam setahun ialah hari Wukuf di Arafah dan begitu juga sebaik-baik hari dalam seminggu ialah hari Jumaat.
Fardu puasa bulan Ramadan telah disyariatkan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah, Rasulullah telah berpuasa semenjak dari syariat itu di turunkan ialah selama 9 tahun kemudian baginda pun wafat.
Wednesday, July 15, 2009
Peristiwa Mukjizat Israk dan Mikraj

Allah Taala berfirman:
Mafhumnya: ”Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [Surah Israk :1]
Tanggal 27 Rajab, atas perintah Allah Taala Malaikat Jibril datang dengan membawa tunggangan dari syurga yang disebut dengan Buraq. tunggangan yang mempunyai kepantasan yang luar biasa, sejauh mata Buraq memandang maka sejauh itu pulalah Buraq melangkah. Dengan tanpa meninggalkan sebarang kesan Malaikat Jibril membuka bumbung rumah Ummu Hanik tempat Rasulullah tidur pada malam itu di antara Hamzah dan Jaafar bin Abi Thalib, perlahan-lahan Jibril bangunkan Rasulullah dan membawanya ke Kaabah seterusnya membelah dada baginda untuk kali yang kedua tanpa ada rasa kesakitan dan kesan lalu dibersihkan dengan air zam-zam. Seterusnya Rasulullah dengan menaiki Buraq dan Jibril keluar untuk menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah, baik yang berada di bumi mahupun yang berada di langit.
Israk
Para ahli salaf, khalaf, mufassirin, mutakallimin dan ulama-ulama fekah bersependapat bahawa peristiwa israk ini berlaku dengan jasad dan ruh secara serentak dalam keadaan sedar dan bukannya tidur. Peristiwa ini berlaku pada malam hari membawa nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin.
Dari masjidi Haram Rasulullah memulai perjalanan Israknya dengan melalui beberapa tempat bersejarah antaranya Madinah, Thur Sina (tempat nabi Musa mendengar Kalam Allah tanpa perantaraan malaikat), Madyan (perkampungan nabi syuaib), Baitil Laham (tempat lahirnya nabi Isa), makam keluarga Mashithah dan sehingga akhirnya beliau sampai di masjidil Aqsa, di masjid inilah Rasulullah dipertemukan dengan semua para nabi dan melakukan solat dua rakaat dengan para nabi dan sekaligus menjadi imam kepada mereka, ini juga merupakan dalil bahawa Nabi Muhammad adalah nabi yang termulia di antara para nabi.
Di antara keajaiban ciptaan Allah yang disaksikan Rasulullah ketika Israk adalah :
1. Dunia, Rasulullah melihatnya dalam bentuk seorang wanita yang sangat tua. Hal ini menggambarkan bahawa dunia dengan segala bentuk dan isinya yang mengairahkan akan lenyap dan fana, sebagaimana seorang wanita yang ketika mudanya sangat cantik dan menawan, akan hilang kecantikannya ketika sudah tua.
2. Iblis, Rasulullah melihat seseorang yang berada di pinggir jalan, dialah Iblis yang pada mulanya beriman kepada Allah kemudian dia kufur kerana menentang-Nya. Dia termasuk dari golongan Jin, bukan dari jenis malaikat. Iblis tidak berani bercakap kepada Rasulullah atau berbuat jelek terhadapnya.
3. Para Mujahid di jalan Allah, Rasulullah melihat sekelompok kaum yang menanam dan menuai hasilnya dalam tempoh 2 hari. Jibril berkata kepada Rasulullah : "Merekalah orang-orang yang berjuang di jalan Allah".
4. Para penceramah pembawa fitnah, Rasulullah melihat mereka memotong lidah dan bibir mereka dengan gunting dari api.
Mikraj
Setelah Israk, Rasulullah yang ditemani Malaikat Jibril meneruskan perjalanannya menuju Sidratul Muntaha. Perjalanan ini disebut dengan Mikraj, perjalanan yang dimulai dari masjid al Aqsa hingga ke sidratul Muntaha atas langit ketujuh.
Sampai di langit pertama Rasulullah berjumpa dengan nabi Adam, naik ke langit kedua baginda bertemu pula dengan nabi Isa dan Nabi Yahya, di langit ketiga bertemu dengan nabi Yusof, di langit keempat dengan nabi Idris, kelima dengan nabi Harun, seterusnya di langit keenam bertemu dengan nabi Musa dan di langit yang ketujuh baginda dipertemukan dengan nabi Ibrahim.
Keajaiban-keajaiban Mikraj
Ketika Rasulullah berada di suatu tempat yang berada di atas (suatu tempat yang lebih tinggi dari langit ke tujuh), baginda diperlihatkan oleh Allah beberapa keajaiban ciptaan-Nya. Antaranya ialah:
1. al Bait al Ma'mur, iaitu rumah yang dimuliakan, yang berada di langit ke tujuh. Setiap hari 70.000 malaikat masuk ke dalamnya lalu keluar dan tidak akan pernah kembali lagi dan seterusnya.
2. Sidratul Muntaha, iaitu sebuah pohon yang amat besar dan indah, tak seorangpun dari makhluk yang dapat menyifatkannya.
3. Syurga, iaitu tempat kenikmatan yang disediakan oleh Allah bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Syurga berada di atas langit yang ke tujuh dan sekarang sudah ada.
4. Arasy, iaitu makhluk Allah yang paling besar bentuknya. Arasy bukanlah tempat bagi Allah, kerana Allah tidak memerlukan kepada tempat. Saidina Ali pernah berkata :
"إن الله خلق العرش إظهارا لقدرته ولم يتخذه مكانا لذاته"
Maknanya: "Sesungguhnya Allah menciptakan Arasy untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, dan tidak menjadikannya tempat bagi Dzat-Nya". (Riwayat Abu Manshur al Baghdadi dalam al farq bainal firaq, hlm : 333)
Hanya dalam waktu sepertiga malam saja Rasulullah sudah kembali ke tempat tidurnya dari perjalanan Israk dan Mikrajnya. Sungguh menakjubkan, namun itulah bukti kekuasaan Allah yang sempurna dan tidak ada bandingannya dan inilah yang disebut dengan Mukjizat bukti kebenaran akan kenabian dan kerasulan nabi Muhammad Shallallahu alaihi Wasallam.
والله أعلم وأحكم
Abu Nizar
Monday, April 20, 2009
JANGAN DALAM ISLAM
- JANGAN sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini Allah tidak suka. Kalau tertidur lain cerita.
- JANGAN masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki(selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.
- JANGAN makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan.
- JANGAN biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh.Makruh dan mewarisi kepapaan.
- JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki Mahal(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu Berkat).
- JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki Kita dikongsi syaitan.
- JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
- JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan.Makruh dan mewarisi kepapaan.
- JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan.. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
- JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
- JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita bersalah.
- JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.
- JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
- JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.
- JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
- JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada Kita.
- JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan.. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
- JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
- JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan Kita.
ALLAH lebih tahu. Wallahualam...