Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Wednesday, July 15, 2009

Peristiwa Mukjizat Israk dan Mikraj



Allah Taala berfirman:

Mafhumnya: ”Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [Surah Israk :1]

Tanggal 27 Rajab, atas perintah Allah Taala Malaikat Jibril datang dengan membawa tunggangan dari syurga yang disebut dengan Buraq. tunggangan yang mempunyai kepantasan yang luar biasa, sejauh mata Buraq memandang maka sejauh itu pulalah Buraq melangkah. Dengan tanpa meninggalkan sebarang kesan Malaikat Jibril membuka bumbung rumah Ummu Hanik tempat Rasulullah tidur pada malam itu di antara Hamzah dan Jaafar bin Abi Thalib, perlahan-lahan Jibril bangunkan Rasulullah dan membawanya ke Kaabah seterusnya membelah dada baginda untuk kali yang kedua tanpa ada rasa kesakitan dan kesan lalu dibersihkan dengan air zam-zam. Seterusnya Rasulullah dengan menaiki Buraq dan Jibril keluar untuk menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah, baik yang berada di bumi mahupun yang berada di langit.

Israk

Para ahli salaf, khalaf, mufassirin, mutakallimin dan ulama-ulama fekah bersependapat bahawa peristiwa israk ini berlaku dengan jasad dan ruh secara serentak dalam keadaan sedar dan bukannya tidur. Peristiwa ini berlaku pada malam hari membawa nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin.

Dari masjidi Haram Rasulullah memulai perjalanan Israknya dengan melalui beberapa tempat bersejarah antaranya Madinah, Thur Sina (tempat nabi Musa mendengar Kalam Allah tanpa perantaraan malaikat), Madyan (perkampungan nabi syuaib), Baitil Laham (tempat lahirnya nabi Isa), makam keluarga Mashithah dan sehingga akhirnya beliau sampai di masjidil Aqsa, di masjid inilah Rasulullah dipertemukan dengan semua para nabi dan melakukan solat dua rakaat dengan para nabi dan sekaligus menjadi imam kepada mereka, ini juga merupakan dalil bahawa Nabi Muhammad adalah nabi yang termulia di antara para nabi.

Di antara keajaiban ciptaan Allah yang disaksikan Rasulullah ketika Israk adalah :

1. Dunia, Rasulullah melihatnya dalam bentuk seorang wanita yang sangat tua. Hal ini menggambarkan bahawa dunia dengan segala bentuk dan isinya yang mengairahkan akan lenyap dan fana, sebagaimana seorang wanita yang ketika mudanya sangat cantik dan menawan, akan hilang kecantikannya ketika sudah tua.

2. Iblis, Rasulullah melihat seseorang yang berada di pinggir jalan, dialah Iblis yang pada mulanya beriman kepada Allah kemudian dia kufur kerana menentang-Nya. Dia termasuk dari golongan Jin, bukan dari jenis malaikat. Iblis tidak berani bercakap kepada Rasulullah atau berbuat jelek terhadapnya.

3. Para Mujahid di jalan Allah, Rasulullah melihat sekelompok kaum yang menanam dan menuai hasilnya dalam tempoh 2 hari. Jibril berkata kepada Rasulullah : "Merekalah orang-orang yang berjuang di jalan Allah".

4. Para penceramah pembawa fitnah, Rasulullah melihat mereka memotong lidah dan bibir mereka dengan gunting dari api.

Mikraj

Setelah Israk, Rasulullah yang ditemani Malaikat Jibril meneruskan perjalanannya menuju Sidratul Muntaha. Perjalanan ini disebut dengan Mikraj, perjalanan yang dimulai dari masjid al Aqsa hingga ke sidratul Muntaha atas langit ketujuh.

Sampai di langit pertama Rasulullah berjumpa dengan nabi Adam, naik ke langit kedua baginda bertemu pula dengan nabi Isa dan Nabi Yahya, di langit ketiga bertemu dengan nabi Yusof, di langit keempat dengan nabi Idris, kelima dengan nabi Harun, seterusnya di langit keenam bertemu dengan nabi Musa dan di langit yang ketujuh baginda dipertemukan dengan nabi Ibrahim.

Keajaiban-keajaiban Mikraj

Ketika Rasulullah berada di suatu tempat yang berada di atas (suatu tempat yang lebih tinggi dari langit ke tujuh), baginda diperlihatkan oleh Allah beberapa keajaiban ciptaan-Nya. Antaranya ialah:

1. al Bait al Ma'mur, iaitu rumah yang dimuliakan, yang berada di langit ke tujuh. Setiap hari 70.000 malaikat masuk ke dalamnya lalu keluar dan tidak akan pernah kembali lagi dan seterusnya.

2. Sidratul Muntaha, iaitu sebuah pohon yang amat besar dan indah, tak seorangpun dari makhluk yang dapat menyifatkannya.

3. Syurga, iaitu tempat kenikmatan yang disediakan oleh Allah bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Syurga berada di atas langit yang ke tujuh dan sekarang sudah ada.

4. Arasy, iaitu makhluk Allah yang paling besar bentuknya. Arasy bukanlah tempat bagi Allah, kerana Allah tidak memerlukan kepada tempat. Saidina Ali pernah berkata :

"إن الله خلق العرش إظهارا لقدرته ولم يتخذه مكانا لذاته"

Maknanya: "Sesungguhnya Allah menciptakan Arasy untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, dan tidak menjadikannya tempat bagi Dzat-Nya". (Riwayat Abu Manshur al Baghdadi dalam al farq bainal firaq, hlm : 333)

Hanya dalam waktu sepertiga malam saja Rasulullah sudah kembali ke tempat tidurnya dari perjalanan Israk dan Mikrajnya. Sungguh menakjubkan, namun itulah bukti kekuasaan Allah yang sempurna dan tidak ada bandingannya dan inilah yang disebut dengan Mukjizat bukti kebenaran akan kenabian dan kerasulan nabi Muhammad Shallallahu alaihi Wasallam.

والله أعلم وأحكم
Abu Nizar

Read More......

Thursday, July 9, 2009

PERJUMPAAN USRAH KALI KE 12 / 2009

Assalamualaikum,

Dijemput kepada semua rakan usrah untuk hadir pada perjumpaan usrah kita kali Ke dua belas tahun ini pada hari Khamis 09 Julai 2009 bertempat di Surau SK Anchi, tentatif program adalah seperti berikut:

1. Solat Maghrib berjamaah
2. Bacaan Surah Yasin
3. Pengajian Tajweed
4. Talaqqi Kitab Akidah Muslimin
5. Solat Isyak berjamaah
6. Jamuan dan perbincangan isu semasa.

Allah berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ

Yang maksudnya: "Katakanlah, adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu?". [Az-Zumar:9]

Read More......